Muharrikdaie

Menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

Category Archives: dakwah dan tarbiyah

Sekali sekala kembali

Lama sangat aku tak menulis panjang tentang usrah. Ya, usrah yang menjadi qorin aku sejak sekian lama.

Usrah ni bagus. Tempat kita mentarbiah diri menjadi alim bertakwa. Tempat kita membina circle pendakwah. Tempat kita merancang dan membina adik-adik dakwah menjadi pendakwah. Tempat kita berukhwah. Tempat kita mempraktis sunnah. Dari makan dalam talam, pakai serban, pakai kayu sugi, berwangi-wangian ditaman syurga dunia, berpeluk-pelukan waktu bertemu dan berpisah. Indah.

Namun usrah tidak memadai begitu tanpa kita upgrade ilmu. Jika seseorang hanya mengharap usrah untuk memahami deen ini dan untuk menimba ilmu islam, itu fikrah yang salah.

Terkadang didalam usrah sendiri pun kita lihat ramai yang jahil fardhu ain. Tauhid pun tak belajar secara formal, begitu juga feqah dan tasauf. Sebab itu banyak kita lihat bila individu-individu usrah ini pergi ke tengah masyarakat mereka tidak tahu apa yang mereka nak deliver kepada masyarakat kecuali mengajak masyarakat bergabung dalam jemaah mereka. Isi borang masuk jemaah dan usrahnya rutin setiap minggu tanpa peningkatan. Ini salah.

Kalau kita lihat, Albanna murabbi dakwah kita, bila berdakwah ditengah masyarkat, beliau menceritakan tentang islam. Bagaimana nak memahami islam. Kemudian bercerita iman yakni tauhid yang sejati dan benar, ibadah yang dimulai dengan ilmu kemudian diiring dengan meninggalkan perbuatan syirik dan sebagainya.

20 tahun aku berada didalam tarbiyah harakiah ini sejak zaman student, banyak aku belajar tentang betapa pentingnya seseorang individu yang berada dalam usrah itu perlu mengutamakan ilmu fardhu ain dan lainnya untuk meneruskan agenda dakwah ini untuk menutup kejahilan umat yang merantai generasi ini. Apalagi dalam masaalah akidah.

Kini aku lihat usrah sudah menyejuk. Usrah bagai berada dilautan yang kering yang tidak boleh dilayarkan bahteranya lagi. Tiada lagi selipar yang banyak bersusun dihalaman rumah setiap minggu. Jemaah- jemaah dakwah pun dah beralih menyokong dan menjadi proksi parti -parti politik. Umat semakin bersengketa. Tiada lagi ukhwah. Apalagi itsar. Panjang nak cerita.

Namun aku tetap bertahan. Sekali pun circle yang kecil, usrah tetap berjalan. Tarbiah tetap mengalir. Mad’u- mad’u tetap aku hidangkan dengan sajian ilmu-ilmu alat dan fardhu ain untuk bekal dakwah mereka. Pesan murabbi dulu tetap aku pegang. Bergeraklah atas kemampuan.

Ya, aku bergerak diatas kemampuan aku dikala usia aku merangkak tua. Sekalipun kawan-kawan dah berjaya dengan bisnes, dengan kerjaya dan anak pinak, kaya raya dengan rezeki Allah. Aku tetap seperti dulu.

Setiap minggu menyinggahi rumah sahabat-sahabat yang inginkan bimbingan dan tarbiah serta dahagakan ilmu.

Aku akui, aku sunyi. Sahabat-sahabat otai dakwah yang sama-sama berlari dipadang tarbiah dulu sudah sampai kegarisan cita-cita hidup mereka. Hidup yang nyaman dah bahgia dalam pelukan dunia. Biarlah mereka. Namun aku belum lagi. Walau tak mampu berlari laju, aku tetap berjalan, berhenti mengambil nafas, mengesut. Aku tahu satu hari aku akan sampai juga kegarisan. Walau dalam samar-samar malam, cita-cita aku menunggu aku di sana.

#muharrikdaie

Jangan putus asa

Aku rasalah. Orang yang terbaca posting aku pasti bosan. Asyik cerita dakwahhhhhhh jer.Cerita lain tak ada ke? Cerita lain ada cuma bagi aku cerita lain tak membuahkan amal. Asyahid Albanna pun cerita dakwah saja hingga akhir hayatnya. Tapi, setelah syahidnya. Cerita dakwah terus bersambung. Dan aku salah seorang penyambung ceritanya.

Akhi, setiap satu amal yang ikhlas kita buat, ia bukan mengurangkan amal malah Allah bukak kan banyak lagi pintu amal utk kita bekerja. Mana mungkin akan tamat cerita dakwah!
Orang yang fokus pada dakwah tahulah betapa banyak nya kerja dari masa yang mereka ada. Itu belum lagi beban harian, menguruskan hal pejabat dan hal social yang lain. Kalau yang dah kawin dan punya anak lagi lah tensionnya. Yang student pun terkadang surrender dengan dakwah, inikan pula yang dah kawin. Panjangkan?
Oleh itu jangan risau dengan kelemahan kerana faktor futur dan lemah perkara biasa kerana kita manusia dan bukan malaikat. Tapi biarlah kefuturan kita itu bukan sebab dosa tapi sebab selain dosa. Mungkin letih dan cemuih! Berehatlah sebentar melepas lelah. Janganlah pulak sampai kita letih berehat.
Akhi, bersabarlah. Seperti yang selalu murabbi kita ulang ulangkan bahawa dakwah ini bagai larian maraton. Nafas panjang amatlah diperlukan. Jangan sesekali habis nafas ditengah jalan.
Jalan dakwah jugak adalah seperti titisan air. Ia akan membelah batu tapi bukan sehari dua kerana ia memakan masa yang lama.Tapi jangan lupa, titisan itu kalau banyak, ia akan menjadi satu dan pasti akan menjadi arus. Dan kemudian menjadi gelombang yang akan memusnahkan jahiliyah. Dan itulah yang diperlukan dakwah.
Begitulah akan terjadi pada kita kalau semuanya bersabar dan terus bekerja. Satu hari pasti kita akan bertemu dalam satu matlamat dan menjadi kuat.
Muga menfaat buat hamasah antum terutama bagi yang lemah didalam dakwah.
#muharrikdaie

Mari kita terus merenung

Aku menulis lagi. Mencari nafsuku. Mencari nafsumu. Yang masih hidup dan mengalir didalam kelaparan puasa. Lihatlah dia makin tersiksa. Biarkan dia tersiksa. Biarkan dia lara. Kerana dia kita mengunung dosa. Kerana dia amal kita tertahan diawangan.

Seminggu telah berlalu. Lapar dan lapar. Namun nafsu kita tidak pernah mati. Ibnu ataillah berkata;

“Setiap kali nafsu itu mati, maka Allah akan menghidupkan nafsu yang lain hingga ia juga mati hingga pedang kita menitiskan darah mujahadah ….”

Begitulah dia. Seperti anak meminta dimanjakan. Meski kita mematahkan ia, akarnya akan terus hidup menguji kesabaran kita.

Puasa itu sajalah kelemahannya. Ramadan itulah sangkar siksaannya!

Aku tahu. Ada yang menghirup udara malam Ramadan ini dan ada yang menghirup udara sahurnya dengan zikir zikir dan tahmid cinta tapi masih ada lagi yang tidak terasakan …

Ada antara kita yang kesat ruhi. Keras dan kematu. Malah setitis airmata pun tidak mampu kita titiskan apalagi untuk memejamkan mata menghayati kegelapan … untuk membayangi kubur yang datang!

Wahai sahabat yang dikasihi,

Seperti biasa Ramadan akan terus menantikan komitmen kita semua untuk mengisi ruang ruang tarbiyah didalam diri dan jiwa kita.

Kasihnya Ramadan kepada kita bertaburan bagai manik manik mutiara yang menghiasi rambut sang bidadari …

Ramadan sentiasa mengajak kita untuk memohon ampunan dan belai kasihNya.

Ingatkah lagi masa dan waktu kita dulu telah berlalu.

Namun kisah kisah kemaksiatan dan duka duka lalu tidak akan pernah melupai kita. Meski kepenatan kita melakukan maksiat telah hilang dari kita, namun keringat keringat dosa dan noda tetap tidak akan terpadam, malah kemas tercatit dilembaran lembaran malaikat yang disimpan di pendrive Raqibun Atid.

Kita juga pasti telah lupa akan dosa dosa lalu tapi sebenarnya dosa dosa kita melekat keras dalam qalbu kita dan akan terus mengeras umpama iceberg yang tidak boleh diruntuhkan oleh ombak ombak amal yang dhaif yang telah kita lakukan.

Oleh itu ikhwah,

Jangan kita biarkan malam malam kita terus kesejukan dan terus mengeras, seperti kerasnya hati kita yang akan menjadi kembar kita waktu dipanggil dan diusap oleh malakatul maut sebelum diusung keliang lahat dan menjadikan kita penunggu terowong barzah yang dipenuhi oleh asap asap api jahannam.

Buat lah satu perubahan, satu tekad, satu azam yang benar benar dapat dinilai oleh Allah sebagai amal yang qowi..

Sukarkah kita untuk berubah dan mengimfakkan diri ini untuk RabbulJalil dimalam rahmat kurniaannya?

Tidak cukupkah kelazatan dunia yang telah kita terokai?

Apa lagi yang kita cari akhi?

Tinggalkanlah segala kelazatan sebelum kelazatan dunia meninggalkan kita.

Adalah lebih manis kita meninggalkan kelazatan dari kelazatan meninggalkan kita.

Buangkanlah bayang keindahan dunia yang selama ini hadir dalam keheningan khayal kita.

Jangan kita biarkan graviti bumi terus menarik kita hingga kita terpana dengan keindahannya lalu kita lupakan akan keindahan langit yang penuh dengan keajaiban dan janji israq wal mikraj.

Kamu tidak akan dapat menerokai langit selagi mana kamu menyintai bumi.

Langit memerlukan kesucian hati dan batin seperti Hati Rasul dan para sahabatnya untuk kamu menerokainya.

Oleh itu tiada jalan lagi kecuali melalui proses tarbiyah dzatiyah yang berterusan tanpa henti.

Mari kita bina madrasah ruhiyah dalam hati kita agar ianya sentiasa dilaungi azan dan iqamah merenggut urat dan nadi kita sepertimana para mujahidin ikhwan membina madrasah al-banna didalam hati mereka.

Mereka menghayati madrasah itu sehingga mereka dapat menyucikan hati mereka menjadi rijal rijal yang sufi, yang syahid, yang dai, yang murabbi dan yang dapat menyambung wasiat Rasul!

Apakah mustahil untuk kita lakukan?

Tidak sama sekali.

Selagi sunatullah berjalan selagi itu keajaiban akan berlaku melalui sunnaturasulNya!

Akhi

meski sekali puistis bait bait ini tapi fahamilah ianya adalah satu peringatan untuk kita melakukan perubahan kerana pastinya usia kita semakin kepenghujung!

Mari kita renung dan tenung agar kita tidak terus termenung!

Apabila dakwah berkata kata pada kita

Akhi, Sepatutnya engkau mencintai ku seperti bunga mencintai titah Tuhannya. Tak pernah lelah menebar mekar aroma bahagia. Tak pernah lelah meneduhkan dalam gelita nyala.

Akhi sepatutnya Engkau mencintaiku seperti matahari mencintai titah tuhannya. Tak pernah lelah memberi cerah cahaya. Tak pernah lelah menghangatkan jiwa. Tak pernah lelah membawaku kemana saja.

Akhi, Betapa malangnya jiwa yang mengabdi pada dunia, duduk bersimpuh dihadapan siang dan malam tanpa memperdulikan aku yang menjadi bebannya.

Akhi, betapa rugi kalau kamu tidak segera terbangun dari khayalan masa lalu dan beranjak segera. Tinggalkanlah merak dan bulunya yang indah.Tinggalkan cinta mawar yang banyak durinya.

Akhi, betapa menderita jiwa yang masih tertabiri akan firman Tuhan yang akan membawa kamu kejalan kedekatan namun kamu tidak segera mencium ketercerahan yang akan melalukan hidup kamu dari segala kecemasan.

Akhi, betapa ruginya hidup kamu yang telah menemukan mata air aku ini tapi kamu membenamkan diri dalam kesegaran dunia yang semu.

Akhi ukhti, bercintalah dengan Allah yang aku menjadi jalannya dan jauhilah kemewahan dan kesenangan serta rehat yang sementara!

Pertama kali jadi naqib

Dah jadi naqib dan murabbi tidak mudah untuk berpatah balik. Hanya boleh berpatah arang. Terus membimbing atau tinggalkan jamaah.

Dulu pertama waktu aku dipilih utk menjadi naqib usrah. Belasan kali aku tolak. Puluhan kali aku beri alasan. Ratusan kali aku bercakap sorang sorang. Boleh kah aku? Mampu kah aku? Mereka terimakah aku. Bolehkah mereka memberi Siqah kepada aku?

Aku bukan ustaz. Aku bukan Tuk Guru. Aku bukan ada ilmu. Aku bukan layak. Macam macam ‘slide’ gerun menerjah minda aku.

Macam mana nak jadi drebar ummah. Nak bawak diri sendiri pun korner sana korner sini.

Amalan peribadi pun masih merayap rayap. Merangkak rangkak. Nak bangun qiyam pun badan macam melekat dengan gam gajah. Solat jamaah pun masbuk semedang!

Zikir jangan tanyalah. Baca mathurat pun masih bawak bawak buku. Belum hapal!

Adoi … Aku terus berpantun.
” Tuai padi antara masak, Esok jangan layu layuan, macamana aku nak mengelak, bila murabbiku buat paksaan”!

Mahu tak mahu, aku terima juga. 1st usrah aku bawak, memang aku cuak. Dalam grup usrah aku, aku lihat janggut tebal tebal. Ada yang pakai jubah dan serban. Ada yang dahi lebam lebam mungkin kerana sujud yang panjang.

Dalam aku ketar macam kena parkinson, aku teruskan juga. Kenapalah murabbi aku bagi para syuyukh jadi mad’u ku. Waktu itu aku berumur 24 tahun. Masih hijau dan masih ranting lagi untuk jadi naqib.

Rupa rupanya usrah pertama ku itu adalah para AJK masjid yang baru ditajmik kan untuk berintima’ dengan jamaah. Aku mengelus resah berbulan bulan.

Setiap kali pertemuan dengan murabbiku minta tunjuk ajar. Dia ketawa saja melihat aksi kucing ku. Dia kata sabar sabar! ” nak jadi pejuang dakwah bukan mudah”

Aku mengadu padanya tidak mudah nak mentarbiyah orang tua. Mereka ego dan degil. Mereka tengok aku macam semut Nabi Sulaiman saja.

Akhirnya aku melepasi ujian itu hingga masih mampu tsabat hingga sekarang.

Aku akui … Aku amat matang sekarang. Aku murabbi multitasker. Boleh buat apa saja asalkan atas nama ‘dakwah’

Aku sekarang bagai kupu kupu malam. Terbang mencari rumah rumah yang gelap untuk diterangkan. Malam adalah dunia dakwah ku. Siang adalah dunia rezeki ku.

Aku seorang pembina dan aku juga terus di bina.

Materi tarbiyah ku bersambung sambung. Tausiyah dan tazkirah ku jua bersambung sambung … Dari murabbi ku, kuturunkan pada mad’uku. Aku penyambung lisan rasul. Aku penyambung sunnah nya.
Dakwah dah mendarah daging menerjah urat saraf ku.

Aku adalah mata rantai dakwah meski pun aku masih akui aku amat lemah dari segala sudut tubuh layuku namun ia terus ditutupi oleh semangat juang ku untuk mendapat tempat disisi Rasul yang sangat aku cintai …: kerana pengobanan bagindalah aku mengenali deen yang suci ini.

Wahai Allah matikan aku di jalan dakwah ini.

jumpa lagi

muharrikdaie