Muharrikdaie

Menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

Aku Rotterdam dan Sumarni (Bahagian 1)


Dulu, lama dulu, waktu aku tinggal di Rotterdam aku pernah bercinta dengan seorang muslimah berhijab. Sumarni namanya! Orang Indonesia berbangsa jawa. Dia belajar di Erasmus University di Rotterdam. Diatas biasiswa kerajaan Belanda.

Dia cuma belajar setahun saja untuk Masternya. Mula mula kami berkawan biasa saja. Maklumlah di Rotterdam ni jarang ada student muslim. Kalau ada pun bukan dari Malaysia. Student Indonesia ramailah tapi kebanyakannya beragama kristian sebab kerajaan Belanda lebih banyak menaja pelajar kristian dari pelajar muslim Indonesia. Biasalah tu.Jadi Sumarni ni tak ada kawan yang beragama islam. Apa lagi kawan perempuan muslimah. Jadi akulah kawannya walau berlainan jantina. Dia tinggal di sebuah rumah sewa bersama sama student non muslim yang sama negara dan study dengannya tetapi bercampurlah lelaki dan wanita didalam satu rumah tapi berlainan bilik. Maknanya satu bilik seorang. Ini perkara biasa bagi student luar sebab di Rotterdam ni amat susah nak cari dan pilih rumah sewa yang sesuai dengan taste kita malah sewanya amat mahal. Nak masuk satu satu rumah sewa pun bersyarat. Syaratnya kena di interview oleh tuan rumah. Kalau mereka suka, mereka akan terima kita. Jika tidak kita akan terpaksa mencari rumah yang lain.

Kebanyakan rumah rumah sewa di Rotterdam ni, tuan rumahnya meletakan salib di sekitar dinding bilik sewaan mereka dan tidak dibenarkan dialih. Macam kitalah yang meletakan ayat suci didinding rumah. Mungkin kepercayaan mereka dapat protect rumah mereka dari hantu syaitan. Jadi dalam bilik Sumarni ini pun bersepah dengan salib sana sini. Begitulah azabnya mental student student muslim untuk belajar disini.

Memandangkan kawan kawan muslim tak ramai, lama kelamaan perhubungan kami rapat. Itu pun sejak dia diganggu didalam Tram oleh lelaki mabuk waktu mula mula dia sampai di Rotterdam dan tak tahu nite life di sana. Maka waktu itu akulah hero penyelamatnya. Sejak itu setiap hari Sumarni meminta aku untuk menemaninya pulang. Apa lagi kalau perubahan musim dan cuaca yang waktu malamnya lebih panjang dari waktu siangnya dan dia terpaksa balik diwaktu agak gelap. Kalau korang nak tahu, di Rotterdam ni bandar nya kecil saja, tapi aktiviti maksiat nya mashaAllah. Apa lagi di waktu malam. Bandar di penuhi dengan makhluk gila. Mabuk arak, mabuk dadah, mabuk seks, bapok, lesbian, homo seksual dan pelbagai maksiat lagi. Wanita wanitanya pula terkadang relaks saja berjalan topless di lorong lorong awam disana. Kalau bertembung, pasti kita yang acah acah alim ni menunduk malu, walau pun jeling jeling sikit tu tetap ada. Memang tak boleh nak tipu. Jadi lebih baik jangan keluar malam untuk mengelak mata syurga kita ni cepat kabur sebab melihat gunung ganang yang berapi panasnya.

Dijalan jalan raya pula botol botol arak bersepah pecah disana sini. Siren polis berbunyi bertali arus menandakan ada kes jenayah atau pegaduhan yang kerap berlaku. Memang takut night life di sana. Itu dulu. Tapi sekarang aku tak tahu. Namun, aktiviti siangnya tiada masaalah. Seperti di Malaysia juga. Hidup seperti biasa. Normal. Kita takkan jumpa orang yang pelik pelik macam di waktu malam. Ofis, Kedai kedai, supermarket dibuka dan dipenuhi manusia bershopping tapi sehingga jam 5 petang sahaja. Sekali imbas nampak macam bandar Rotterdam ni tak ada apa apa berlaku siang atau malamnya. Tapi awas jangan sesekali keluar waktu malam kerana bandar yang tenang di waktu siang ini akan mula berubah menjadi bandar drakula waktu mentari melabuhkan cahayanya.

Memang agak menakutkan bagi wanita juga bagi lelaki yang tak biasa dengan social life yang keterlaluan ini! Termasuk lah aku. Di Rotterdam semua aktiviti pengedaran dadah, ambil dadah, arak dan pelacuran dibolehkan disisi undang undang Belanda tanpa sekatan. Bayangkan! Jika seorang lelaki muslim yang imannya tidak kuat dan pegangan agamanya longgar. Nescaya akan hanyut dalam lautan nikmat maksiat ini tanpa rasa takut dan gerun sebab tiada siapa yang menghalangnya. Bebas sebebasnya!

Berbalik kepada cerita cinta kangaroo aku ni. Aku taklah pernah meluahkan apa apa perasaan terhadap Sumarni kerana aku ni pemalu dan penakut sikit dengan perempuan walau pun perasaan suka aku pada Sumarni ini meluap luap macam asap keretapi arang zaman koboi dulu. Namun sejak kehadiran keluarga Sumarni menziarahi Sumarni suatu tika lalu maka berlakulah episod kenal mengenal antara ibu dan ayahnya dengan aku. Ayahnya amat berterima kasih pada aku kerana selama ini aku telah membantu menemani dan menjaga keselamatan anaknya pergi balik kelas dari University nya.

“Terima kasih ya nak kerana sudi menjaga dan menemani Sumarni setiap hari. Bapak benar benar risau keadaannya di sini.” Begitu kata ayah Sumarni kepada aku saat kami makan di restoran turki di bandar Amsterdam sewaktu membawa orang tuanya melihat Tulips di Kiukenkorf dan naik train keBrugge, Belgium untuk melihat bandar tua yang indah sambil makan coklat yang sedap disana.Waktu dapat penghargaan ayahnya itu, aku rasa bahgia sangat. Kembang hati aku macam kembangnya bunga tulips. Sejak itu dan hari seterusnya aku kerap senyum sorang sorang tanpa sebab. Walau aku dapat pujian dan kepercayaan ayah Sumarni, aku tetap tak berani meluahkan apa apa perasaan pada Sumarni. Aku cuma menunggu respon dari Sumarni saja. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tak adalah! Namun rezeki aku datang jua tanpa aku menunggu lama. Dua minggu saja. Ngam ngam.

Mal, ayah aku berkenan sama kamu.” Kata Sumarni pada aku waktu kami berjalan slow motion menghala kekelas nya.

“Benarkah?” Balas ku. Waktu itu aku berhenti. Buat buat terkejut. Sumarni pun berhenti berjalan. “Benar sekali.” Ujar Sumarni. Sambil mengukir senyum. Aku diam saja. Dalam hati aku hanya Tuhan saja yang tahu betapa ‘alhamdulillah’ nya. Aku zikir 33x alhamdulillah macam zikir lepas semayang bila dapat berita itu.

Kamu bagaimana?” Tanya Sumarni. “Aku ok saja.” Ujarku.

“Ok bagaimana? Kamu suka aku?” Sumarni terus bertanya.

“Suka. Tersangat suka.” Aku jawab tanpa rasa malu. “Tapi … 99% saja.” Aku menyambung sambil ketawa kecil.

“Lucu kamu ini. Kenapa tidak 100%.” Sumarni bertanya aku manja.

“1% itu untuk saya simpan andai kamu tinggalkan saya nanti.” Ujarku dalam gurau manja. Sumarni ketawa. Manis. Waktu itu aku rasa lebah lebah madu berterbangan mengelilingi aku.

Hubungan kami berterusan tenang dan syahdu tapi tidaklah bercouple dan berkepit kesana sini macam belangkas sebab masing masing tahu batas dan larangan agama. Malah keluarga Sumarni adalah dari keluarga beragama. Bukan yang biasa biasa alimnya.

Aku bersama Sumarni cuma rutin seperti selalunya, menemani dan menghantar Sumarni pulang setiap hari. Selepas itu kami dengan aktiviti kami masing masing. Waktu selepas menghantar Sumarni pulang pun, tak adalah aku tinggalkan ucapan goodbye atau miss you atau love you dan kata kata romantis lain nya. Hanya ucapan Sumarni, “Ketemu esok ya?

Itulah ucapan setiap hari selepas menghantar Sumarni pulang selama 365 hari. Mungkin itu ucapan biasa Bangi orang lain tapi bagi aku itulah ucapan penganti Love you, see you tommorow’.

Cinta. Rasa bunga bunga. Wangi wangi. Cita cita. Perasan. Semuanya hanya terpatri di layar hati aku saja. Hati Sumarni aku tak tahu dan tak pernah tanya. Mungkin ada kot! Tapi aku selalu rasa macam dia tak ada perasaan. Dingin.

Selepas setahun, Sumarni habis belajar. Dia pulang ke kampungnya di Surabaya. Waktu itu aku sedih sangat. Hampir jugalah aku nak menitiskan airmata jantan ku di airport Schipol. Tapi aku tahan juga sebab aku lihat Sumarni relaks jer. Macam tak ada apa apa. Hati aku yang emo tadi pun bertukar keras kembali.Tapi sumpah, aku sunyi bhai! Hampir seminggu juga aku termenung di tepi canal canal indah di sekitar Rotterdam sambil memakan ‘Patat’ iaitu kentang goreng untuk hilangkan rasa sunyi. Banyak juga batu aku baling dalam canal canal tu.

Waktu aku menghantar Sumarni di airport, aku berjanji untuk melamarnya. Dia berjanji untuk menunggu aku. Ayah dan ibunya pula dah lama bersetuju untuk menerima aku. Hati aku berbunga dan berbuah ranum. Itu teori indah nya hubungan aku dengan Sumarni.Setelah Sumarni pulang, kami terus berhubungan ditelefon walau tidak kerap. Lepas enam bulan Sumarni bertanya, bila untuk melamarnya. Aku jawab tunggu. Lepas setahun, dia bertanya lagi. Aku kata, tunggu. Sehingga dua tahun dia menunggu aku. Dan saat itu aku pula pokai dan menghadapi masaalah keewangan yang teruk. Aku ceritakan pada Sumarni masaalah aku. Dia hanya diam. Waktu itu aku dah dapat rasa akan berakhirnya perhubungan aku.

Akhirnya, suatu hari dia menelefon aku dan mengatakan dia terpaksa bernikah di atas pilihan ayahnya. Aku diam. Dia pun diam. Aku pun tak tahu saat itu dia sedih ke atau gembira sebab aku tak nampak dia. Suara dia pun biasa saja. Tak adalah macam suara parau parau macam orang nak nagis.Aku pulak, tak tahu nak gelak ke atau nak menangis sebab kepala aku hanya ingat masaalah susah aku.Waktu itu aku tak terkejut. Sebab aku tahu pengakhiran cerita hidup orang yang bercinta dan berjanji jarang sukses nya. Hanya dalam drama bersiri waktu maghrib saja yang ada happy ending

Sebenarnya Allah telah susun cerita hidup manusia ini hampir sama saja. Cuma jalan cerita kita saja berbeda beda. Tapi proses hidup tetap sama!Dimana mana pun kamu akan temui cerita dan kisah begini. Pointnya, adalah Allah pasti uji kita dengan emosi kita. Sedih, derita dan kecewa. Dan disisi lain Allah tunjukan kita dengan natijah ujiannya yang berakhir dengan gembira, ketawa sehinggalah kita berubah fasa hidup seterusnya. Manakala setelah hidup berkawin pulak, Allah uji lagi dengan perceraian, pergaduhan, kecurangan dan sebagainya. Kemudian Allah beri jalan keluar kembali. Justeru, Bila dah tua pulak, akan ada pula Allah uji dengan anak durhaka, mak ayah di tinggalkan dan berbagai lagi kesukaran kehidupan manusia. Itulah dunia. Allah pusing pusingkan antara ujian dan jalan keluarnya untuk menjadikan kita matang dalam mengenali Allah yang pengasih dan penyayang.Apa yang pasti, bila di akhirat nanti kita akan temui juga cerita cerita benar seperti yang Allah firmankan dalam alquran seperti azab azab di neraka dan nikmat nikmat di syurga yang mana di sana nanti jalannya tidak seperti didunia.

Jalan didunia kita boleh pusing dan u turn tapi diakhirat jalan nya jalan sehala.Pendek kata, sekarang ini pun kita berjalan dan hidup dari TAKDIR Allah yang telah disusun sejak azali lagi. Kita tidak tahu takdir kita akan datang. Maka berjalan lah kita terus. Andai diuji dengan keburukan, Sabar lah kita. Andai diuji dengan kebaikan, Syukurlah kita.Kedua duanya ada hikmah kebaikan.

Bersambung

Leave a comment