Kemuliaan berdakwah


Seorang pendakwah itu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut perintah Allah Taala. Tugas dakwah ini lebih mulia dan amat payah jika dibandingkan dengan jawatan lain di dunia. Tiada satu jawatanpun atas muka bumi ini yang terpikul segala bebanan dan kesusahan melainkan dakwah. Dakwah itu bukan sahaja menuntut pengorbanan jiwa dan harta, bahkan terpaksa berjauhan dengan keluarga dan negara. Ia tidak mampu dibalas dengan dunia.

Para anbiya’ berpegang teguh dengan prinsip ini sepertimana kata mereka dalam Surah al-Ana`am: Ayat 90.

Maksudnya: Aku tidak meminta imbalan kepadamu dalam menyampaikan (al-Quran).

Rasulullah s.a.w diperintahkan supaya beriltizam dengan manhaj ini. Ketika penduduk Mekah menolak dakwah Nabi s.a.w, turun ayat bertanyakan sebab penolakan mereka sepertimana firman Allah dalam Surah al-Tur: Ayat 40 yang bermaksud :

Maksudnya: Ataukah engkau (Muhammad) meminta imbalan kepada mereka sehingga mereka dibebani hutang?

Ketahuilah bahawa seseorang yang mencari habuan dunia tidak akan melakukan sesuatu perkara melainkan untuk memperoleh ganjaran dan habuan dunia. Demikianlah kisah tukang sihir dengan Nabi Musa di mana jelas terbukti ketika mana mereka berkata kepada Firaun di dalam Surah al-Su`ara’: Ayat 42 :

Maksudnya: “Apakah kami benar-benar akan mendapat imbalan yang besar jika kami menang?”

Kemudian Firaun membenarkan mereka dengan katanya :

Maksudnya: “Ya, dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat (kepadaku)”.

Setelah iman terpahat dalam jiwa dan sanubari mereka, mereka tidak meninggalkan untuk mendapatkan ganjaran bahkan kata mereka kepadanya :

Maksudnya: Maka putuskanlah yang hendak engkau putuskan. Sesungguhnya engkau hanya dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini. (Surah Toha : ayat 72)

Bentuk-bentuk habuan atau ganjaran yang perlu dijauhi oleh dai`e.

Habuan atau ganjaran ini bukan semata-mata berkisar berkaitan harta bahkan ia merangkumi setiap manafaat yang diterima hasil daripada dakwah. Sayugia seorang pendakwah tidak ternanti-nanti atau mengharapkan ucapan penghargaan atau terkenal.

Terdapat beberapa faedah dan hukum berkaitan tidak menuntut ganjaran ini:

Pertama: Sesetengah manusia beranggapan bahawa seseorang pendakwah itu memang telah ditentukan bahawa dakwah yang dijalankan tersebut menghubungkannya dengan rezeki dan harta. Barangkali seseorang pendakwah itu bertujuan untuk mengalihkan pandangan manusia supaya mereka mendapat manfaat daripada dakwah yang disampaikan terutama sekali sebahagian besar para daie terdiri daripada orang yang miskin.

Allah Ta`ala berfirman dalam Surah Hud: Ayat 29

Maksudnya: Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepada kamu (sebagai imbalan) atas seruanku. Imbalanku hanyalah dari Allah

Imam al-Razi berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa seolah-olah Nabi s.a.w berkata kepada mereka: “Sesungguhnya jika kamu semua mengharapkan sesuatu yang zahir dan pasti maka ketahuilah bahwa kamu akan mendapatiku miskin, dan jika kamu menyangka kesibukanku menyampaikan dakwah ini untuk mendapatkan harta-harta kamu sekalian, maka yakinlah bahawa sangkaan kamu itu salah, sesungguhnya aku tidak menyampaikan risalah ini untuk mendapatkan sebarang ganjaran.

Kedua: Kecenderungan bangsa dalam hal ini akan menjadikan mereka seperti ahli silap mata dan dajjal yang menghubungkan agama untuk mendapatkan dunia dan kelazatannya. Ketahuilah bahwa dakwah itu tulen dan asli yang tidak menuntut pengamalnya mengharapkan apa jua ganjaran dunia atas apa yang dilakukannya.

Ketiga: Setiap amalan yang didasari dengan sesuatu ganjaran kadang-kadang mengundang kekurangan dan kecacatan. Pengamalnya akan melaksanakannya mengikut jumlah ganjaran yang akan diperolehinya sedangkan agama Allah yang mulia ini tidak dihubungkan dengan ganjaran dunia tersebut tetapi ia mesti bertunjangkan keikhlasan.

Keempat: Sesuatu amalan yang ada ganjaran dunia sebenarnya terkesan dengan pemberi ganjaran. Keinginan untuk memberikan apa jua ganjaran bersandarkan amal yang dikerjakan. Oleh kerana itu ramai di kalangan manusia apabila berhadapan dengan tekanan untuk mendapatkan habuan dunia sanggup mengubah atau meminda semata-mata untuk mengejarknya sedangkan para nabi dan daie yang soleh tetap teguh dan thabat atas petunjuk dan jalan dakwah yang tetap tanpa berubah.

Kelima: Seandainya seseorang pendakwah itu dikenali oleh masyarakat sebagai orang yang tidak mengharapkan ganjaran dunia maka ianya membuktikan kebenaran pendakwah dan mampu menarik manusia atas dakwah yang dijalankan tersebut. Oleh sebab itu, dakwah Nabi s.a.w cukup memberi kesan yang mendalam kepada pengikutnya.

Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Kemuliaan kamu di sisi manusia akan kekal selama mana kamu tidak berhajatkan sesuatupun pada mereka, jika kamu melakukannya maka ketahuilah mereka akan merendahkan kamu, benci apa yang kamu sampaikan bahkan memusuhimu.”

Daripada tanda seorang pendakwah itu tidak berhajat atau mengharapkan kekayaan dari imbalan manusia ialah dia memiliki hasil pendapatan sendiri sama ada melalui perniagaan, pertanian, bekerja sendiri atau pertukangan. Ayyub As-Sakhtayani berkata kepada teman-temannya : “ sentiasalah kamu di pasar (untuk tujuan berniaga) kerana sesungguhnya orang yang sihat itu bila memiliki kekayaan(cukup rezeki)”.

Para sahabat Rasulullah SAW dan salafussoleh amat-amat tidak memerlukan bantuan dan imbalan dari manusia. Ini kerana, mereka sudah ada sumber rezeki sendiri dan sentiasa bersifat dengan sifat Qanaah (berpada dengan pemberian allah). Tetapi sumber rezeki yang ada pada ada sang da’ie tadi tidak membawa kepada sifat tamak atau menghabiskan sisa-sisa umur untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Kadang-kadang seorang daie itu mudah diterima oleh masyarakat sehinggakan terpancar kasih dan sayang mereka kepadanya melalui pemberian, hubungan yang erat, memberi bantuan mahupun perkhidmatan serta menerima ajakannya. Seorang daie yang leka dengan menerima habuan ini boleh jadi akan mengaibkan dakwahnya di sisi masyarakat, bahkan ia boleh menyebabkan perjalanan dakwahnya terjejas dan mengundang fitnah terhadap keperibadiannya. Maka jadilah pendakwah tadi buruk cara dan tercela perjalanan hidupnya.

Para da’ie yang jujur dan benar di jalan dakwah, akan sentiasa menyumbang bukan mengharap imbalan. Mereka adalah yang paling banyak memberi dan memiliki jiwa yang besar serta mempunyai maruah (harga diri). Maruah atau harga diri ini merupakan salah satu ciri-ciri syaksiah islamiah dan inti keseqahan manusia pada seorang da’ie.

Imam Mawardi menyatakan : “ Maruah adalah perhiasan diri dan al-himmah (keazaman dan cita-cita tinggi)”. Sifat ‘al-muruah’ ( menjaga harga diri) tidak akan ada melainkan jika ada sifat ‘iffah, kesucian dan memelihara diri. Sifat ‘iffah ialah dengan menjauhi perkara yang haram dan dosa, manakala sifat suci bersih pula dengan menjauhi ketamakan diri dan terlibat dalam perkara yang meragukan sedangkan sifat memelihara diri ialah dengan menjaga diri dari memikul (mengharap) ganjaran atau pemberian dari manusia serta membebaskan diri dari meminta pertolongan dengan makhluk.

Kata Imam Mawardi : “ Orang yang berhajat atau berharap sesuatu dari manusia lain, setiap dari mereka dianiaya haknya, mendapat kehinaan dan menjadi bebanan pada orang lain.”

Adapun jika seorang daie itu mengajar, menjadi imam atau menyampaikan khutbah dan dia memperolehi pendapatan dari kerja tersebut, maka ia dibenarkan syarak untuk mendapatkan imbuhannya atas sebab pekerjaan atau profesion tadi. Termasuk juga dalam urusan tanggungjawab kepimpinan umum(contohnya sebagai pegawai @ penjawat awam kerajaan atau mana-mana institusi dan jabatan) dan memegang jawatan perundangan (seperti bekerja sebagai hakim, kadi, peguam) atau yang sepertinya, maka pendakwah tadi berhak mendapat ganjaran dari kerja(profesion) tersebut dan tidak dicela.

MD

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: