aku bagai semusim luruh


IMG_5491Assalam buat semua.

Maaf. Lama tak menulis. Kurang sehat adanya. Dua minggu aku terlantar. Hanya Raqib dan Atiq menemani. Hanya malaikat Izrail yang menziarahi. Kenal malaikat Izrail? Biar aku cerita sikit sebagai sentuhan jiwa kita.

Sewaktu Allah SWT menciptakan Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada malaikat Izrail, maka berkata malaikat Izrail: “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?“. Maka Allah SWT menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka: “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih Agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu“.

Kemudian Allah SWT memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut dan Allah menyerahkan kepadanya. Walau bagaimanapun, Malaikat Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah SWT memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya.

Kemudian Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya seperti seseorang yang sedang menghadap sebuah meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai makanan yang siap untuk dimakan. Ia juga boleh membolak-balikkan dunia sebagaimana kemampuan seseorang boleh membolak-balikkan sekeping syiling.

Sewaktu malaikat Izrail menjalankan tugasnya mencabut nyawa makhluk-makhluk dunia, ia akan turun ke dunia bersama-sama dengan dua kumpulan malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab. Gerunkan? Tapi itulah makhluk yang menziarahi aku waktu aku sakit. Tiada siapa pun yang jenguk kecuali mereka. Ini bukan bermakna teman temanku tak sayang pada aku dan tidak mengambil berat tetapi segaja aku rahsiakan dari mereka kerana aku lebih suka bersendirian dan bermuhasabah bila ujian melanda kerana waktu itulah aku rasa amat dekat dengan Allah. Waktu itulah aku ingin menguji diriku, samada aku benar benar menjadi hambaNya yang redha dengan ketentuaNya.

Takutkah kamu dengan Izrail dan maut yang berada ditangannya? Jangan takut, kerana dia juga makhluk Allah yang menjalankan perintah Allah sepertimana kita melaksanakan dakwah yang ditaklifkan oleh Allah ini. Cuma bezanya, adalah kita tidak konsisten dengan tugas kita tetapi mereka adalah makhluk yang taat.

IMG_5482Akhi ukhti yang ku kasihi,

Bila usia menganjak tua, aku serasa bagai dedaunan dimusim luruh. Terkadang umurku seperti kekuningan. Terkadang serasa bertukar coklat dan jingga. Dan aku tahu, tiba masa dan tikanya aku akan reput dan luruh. Begitulah kesudahannya aku dan kamu.

Sebab itu bagi aku tawa, tangis, gembira, derita adalah sama saja. Ia hanyalah sebuah perasaan. Perasaan yang terusik. Sebuah rasa yang tiada jisim. Allah tidak memberati kita kecuali atas kemampuan kita. Maka jadilah perasaan itu sebahagian aksesori hidup yang Allah kurniakan buat kita untuk menyempurnakan kehidupan ini. Yes! Perasaan itu adalah aksesori yang mengindahkan hidup!

Oleh itu terimalah apa yang datang dan pergi itu dengan sebuah redha. Kerana segalanya itu adalah sebuah proses sebelum Allah meletakan kita didalam syurganya.

Allah tidak pernah menzalimi kita. Allah iringi kegembiraan pada kita bersama ‘ senyum dan tawa’. Allah timpakan kesusahan dan kedukaan kita dengan diiringi airmata sebagai penawarnya. Supaya apa? Supaya kita sedar bahawa itu adalah tarbiyah Allah secara direct untuk kita ‘membesar’ kan Nya! Betapa hebatnya Allah kan?

Semua kesusahan kita diberi jalan keluarnya. Sepertimana air yang mengalir meskipun dicelah batu yang sempit. Cumanya, kita saja yang tidak dapat melihat akan nikmat itu secara makrifat, sebab jiwa kita adalah jiwa dunia lantas kita selalu membelakangkan Allah dalam setiap gerak langkah kita.

Terkadang aku melihat, ramai yang pesimis dan gamang dalam menjalani kehidupan yang simple ini. Dan aku lihat juga mereka tidak berlaku ‘adil’ dengan kehidupan mereka. Seolah olah mereka hanya boleh menerima ‘ kebahgiaan’ dan tidak mahu menerima ‘ kedukaan dan ujian’! Adilkah kita menghakimi hidup? Apakah hidup namanya kalau hanya kegembiraan mengisi kita! Tidak kan? Kerana hidup perlukan rona rona untuk menghiasnya sepertimana bidadari menghiasi syurga! Dan campur baur duka dan gembira itulah sebenarnya ramuan dan nikmat kehidupan.

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan

Ingat Nabi Yaakub akhi? Berapa lama dia menanti dengan bertemankan mata yang tidak pernah kering menangisi Yusof! Tetapi akhirnya Allah pertemukan baginda dalam keadaan berlipat lipatnya kegembiraan dan kemuliaan.

Allah ibrahkan peristiwa itu pada kita supaya kita lebih yakin akan janji Allah dan supaya kita sabar!  Sesekali lihatlah kebelakang akhi! Kalau kita kehilangan seseorang, bukan bermakna kita telah kehilangan kebahgiaan selamanya. Tidak sama sekali! Tetapi Allah ingin temukan sebuah lagi kebahgiaan yang lebih bermakna buat kita yang kita tidak tahu bila dan dimana? Tetapi jika kita terus terusan derita dan berahsia maka akan jadi rahsia jugalah kebahgiaan itu!

Akhi, ingin aku ceritakan pada kamu bahawa jalan dakwah ini amat rumit dari kehidupan peribadi manusia manusia yang meratap akan ujian yang mereka lalui.

Kalau kamu terlibat dengan dakwah, kamu tidak ada langsung masa untuk memikirkan masaalah kamu sendiri. Bagi kami masaalah peribadi itu adalah usikan syaitan. Masaalah peribadi itu adalah ‘halangan’ untuk melambatkan kami dari menuju terus kepada kejayaan.

Kamu tahu akhi, aku pernah berjawatan tinggi. Aku tinggalkan kerana dakwah. Aku bergaji ribu ribu tapi aku terpaksa tinggalkan kerana sebuah perniagaan demi membantu dakwah ini. Aku gagal dalam mengurus dan terpaksa menanggung risiko berat dengan menjual aset ku untuk hidup sehingga Allah membantu aku dan aku kembali bangun untuk sebuah kehidupan. Tiada siapa memaksa aku begitu kecuali jalan dakwah mengajar aku untuk merintis jalan itu. Lagi banyak ujian datang dijalan dakwah ini, lagi ku rasa manisnya hidup ini.

Akhi, sabar seorang dai berlainan dengan sabar yang kamu faham. Kami memaknai kesabaran dengan penuh ragamnya. Andai kami diuji dengan wanita maka sabar kami bernama ‘iffah. Andai dunia mengoda kami, kami harus bersabar dengan ‘zuhud. Jika diuji dengan hal hal yang haram, kami bersabar dengan wara’. Jika diuji dalam perjuangan, kami bertahan dengan sabar yang bernama syajaah. Andai diuji dengan manusia yang menentang kami, kami bersabar dengan hilm. Andai diuji dengan kemewahan dan hidup belebihan, kami bersabar dengan Qanaah! Itulah kesabaran yang kami faham dan aturkan agar kami mampu bertahan.

Dan jika sabar itu yang kamu faham, kamu akan temukan dua kemudahan dalam satu kesulitan. Dan itulah yang berlaku pada aku. Walau tiada duit ditangan, walau tiada kemewahan tetapi aku tetap cukup dengan dunia aku. Aku tetap boleh berinfaq. Boleh membantu manusia lain. Boleh berbuat kerja kebajikan. Punya ramai kawan dan teman. Dan tidak pernah aku tidak makan. Kerana jalan dakwah tidak pernah memutuskan rezeki dan kebahgiaan.

Jangan sesekali panik bila menghadapi mehnah hidup. Kena selalu ingat bahwa pertolongan Allah hanya akan diberikan kepada kita apabila kita benar benar patut menerimanya. Insyaalah.

IMG_5500Rasanya cukup sampai disini aku bersama kamu. Dah jauh malam dan bilik ku pun dah semakin sejuk dengan angin aircon yang bagai winter dinegara jepun! Dan hati aku pun seperti dilambai untuk kesana seolah olah ingin mengembalikan cintaku yang telah hilang. Sayangnya aku tidak pernah kesana. Aku merindui musim luruh dan winter …. Dah lama aku tidak keluar negara setelah Europe yang hampir aku jelajahi hampir seluruhnya dan merasai semua musimnya. Mungkin winter dan luruh nya di negara matahari terbit itu tdak sama bagai di Europe. Insyaalah, mungkin tahun hadapan aku akan ke jepun atau korea jika ada teman teman dakwah disana ingin menjemput aku bertukar tukar pengalaman dakwah.

Andai kamu lihat gambar gambar indah ditepi entry aku ini, ianya adalah kiriman seseorang yang dekat dihati aku …. hohoho … mungkin dia ingin menjemput aku kesana. Untuk apa ya? Mudah mudahan akan ketemu segala impiannya!

muharrikdaie ~ menulis untuk menggerakkan jiwa jiwa.

 

One response to “aku bagai semusim luruh

  1. sangjiwa November 14, 2013 at 3:30 am

    semoga cepat sembuh

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: