Aku selalu memikirkanmu


???????????????????????????????Ya akhi, ya ukhti,

Mereka berkata aku pandai bermain kata. Pandai menyulam jiwa. Pandai membuat orang hiba dan sesekali boleh menggerakkan jiwa yang gundah gulana dihimpit dunia dan diguling takdirNya.

Tapi bagiku, itu biasa. Aku menyuarakan suara hatiku kerana aku yang merasa. Aku hidup bersama mereka. Mereka yang terluka. Mereka yang dicela. Mereka yang nasibnya tidak terbela.

Medan Dakwah

Daie kerdil ini, sedar akan nilai dirinya. Medan dakwah besar bukan medannya. Medan glemer bukanlah cariannya. Kerana dia lebih suka mencari mereka yang duka. Menyusuri lorong lorong kemiskinan untuk menyelamatkan mereka dari kekufuran kerana fakir akan dunia.

Albanna dulu pun tidak pernah memilih mad’unya. Dia meninggalkan pesan agar peka pada yang hidup hina. Dan aku cuba untuk mencontohinya. Aku tidak mahu dipertanggungjawabkan kerana membiarkan mereka dengan kejahilan dan kemiskinan tanpa bantuan makanan ruh dan jasad mereka! Kerana saban hari aku melihat mereka. Saban hari aku lalui jalan jalan sibuk Ibukota. Saban hari aku laluinya. Melihat mereka ditepi jalan, di station bas, dilorong lorong, ditong tong sampah, dicelah celah pasar. Mengutip apa yang ada untuk hidup sehari dua. Mengutip besi buruk. Tin tin minuman. Zing zing buruk. Sayur sayur yang dibuang. Semata mata untuk mengisi usus yang sentiasa memohon dikasihani.

Keluhan

Solat, puasa, haram dan halal. Amat jauh mereka tinggalkan meski mereka sedar itu kesalahan! Mereka tahu itu hukum Tuhan. Namun ….

” Kami bukan nak jadi begini bang! Demi Allah bang. Abang ingat kami tak malu ke hidup begini? Tapi nak cerita panjang tak guna bang. Abang pun tak percaya. Inilah nasib kami. Nak ke tak nak ke, kami terpaksa terus hidup …” Begitu mereka menyuarakan pada aku ditepi longkang sewaktu aku melepak dan mendengar masaalah mereka. Semacam wakil rakyat pun ada!

” Gua memang tak harap kerajaan bang. Wa memang tak harap orang politik juga orang agama tu bang! Wa cuma harap NGO macam abang. NGO macam Abang inilah yang perihatin terhadap wa. Tapi apa Abang boleh beri? Sebungkus nasi inilah setiap minggu! Tapi wa respeck sama abang sebab abang ada jiwa!” Seorang gelandangan lagi menyampuk. Aku diam saja mendengar keluhan mereka.

” Wa baca paper, ramai orang kutip derma dan hantar Palestin, Syria dan macam macam negara lagi. Bila ada problem negara lain mereka cepat cepat kutip duit tolong dorang bang tapi kami, hampeh bang! Apa? Kami ni bukan manusia ke? Kadang kadang ada yang mati meragan dalam longkang bang! Siapa pun tak ambik tahu.” Seorang lagi menyampuk.

Memang benar keluhan mereka. Setahu aku memang mereka sesekali tidak dipedulikan!

Pertolongan

” Wa tahu bang, wa pun sekolah bang, wa pun baca paper bang. Banyak NGO kutip duit tapi …. untuk orang luar bang. Ada NGO tu bang, wa baca kutip juta juta tapi tolong orang luar. Baguslah tu bang. Wa pun ok. Tapi ingatlah kami jugak. Tolonglah kami jugak! Ini?  ” kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan”. Begitu seorang ‘gelandangan jalanan” mencuit rasaku.

Memang ada benarnya rungutan mereka. Golongan ‘ gelandangan dan golongan fakir ini terkadang terpaksa mengadaikan akidah hanya kerana sesuap makanan. Tidak kah terdetik NGO yang gah itu menubuhkan sayap bantuan untuk membantu mereka mereka itu seperti mereka membantu saudara seiman mereka diluar negara.?

Tidakkah mereka tahu bahawa ‘ afdhal’ nya membantu saudara sendiri dari yang diluar sana?

Tidak terasa ihsankah mereka untuk mencampakkan seposen dua dana yang mereka uruskan itu untuk membela saudara mereka di negara mereka sendiri?

Apakah target grup mereka hanya orang orang tertentu saja dan yang boleh menaikan nama Ngo mereka?

Tidak terfikirkah bijak pandai dalam NGO mereka itu akan nasib kaum marhaen ini hidup?  Sudahlah dibiarkan kerajaan yang korup ini. Dan disisih oleh wakil rakyat yang hanya pandai cakap tak pandai buat. Pandai janji tak pandai menepati. Yang Hanya berpolimik tentang islam bila tiba waktu untuk sokongan!

Apakah dakwah dan tarbiyah yang menjadi teras sesebuah NGO itu semata mata untuk mengutip dana. Membina empayar mereka dengan jutaan ringgit dan tidak memperdulikan golongan marhaen yang setiap masa menunggu menagih simpati dari mereka?

Itulah yang disuarakan kebanyakan mereka dari golongan gelandangan ini sewaktu aku menemui mereka memberi sebungkus nasi, sedikit lemang dan rendang dan sebotol mineral sewaktu hari raya Eidul Adha yang lalu.

Kekufuran

Sebenarnya, ada juga golongan gelandangan ini yang educated. Yang pernah dibuang kerja zaman recession dulu yang kemudian berniaga dan tak menjadi hingga bangkrap dan disishkan keluarga. Ada juga yang hidup tiada keluarga sebatang kara. Ada yang bekas penagih dadah yang tiada kerja. Dan tak dinafikan juga ramai penagih dadah yang hanya menanti masa untuk menemui Tuhannya. Tapi mereka tetap manusia. Manusia yang wajib kita tolong dan perhatikan. Manusia yang dipertanggungjawabkan kepada kita untuk membantu sekadarnya.

” Ada setengah NGO tu tak tolong kami bukan kerana apa bang, kerana mereka ingat kami ini semua penagih dadah. Bukan semua kami ini penagih dadah bang.” Suara seorang gelandangan yang biasa aku temui ini tapi tak berkesempatan untuk bicara sebab sibuk mengedar nasi sebelumnya dan diwaktu raya ni tak ramai orang untuk pengagihan jadi dapat jugak aku bersembang panjang dengan seorang gelandangan yang familiar ini. Pak Hamid namanya. Teringin sangat aku tanya dia, kenapa dia suka panggil aku Abang.

Aku ketawa kecil lagi acapkali dia memanggil aku Abang. Tua sangat ke aku ni dimatanya!

” Kenapa Pak Hamid panggil saya Abang?” Aku bertanya sambil ketawa. ” Hahahahahaha.” Panjang tawa Pak Hamid bila aku bertanyakan soalan itu.

” Macammana aku tak panggil hang Abang! Sebab hang selalu mai tolong kami bagi nasi setiap minggu. Hanya Abang saja yang sanggup tolong adiknya! Pak Hamid menerangkan pada aku dengan serius. ” Siapa yang nak tolong adik kalau bukan Abang!” Pak Hamid menyambung dengan nada terharu. Aku juga terharu dengan penghargaan Pak Hamid pada aku. Patutlah, bila aku bagi nasi, baju dan kain pelikat padanya dulu dia memanggil aku abang. ” Terima kasih bang, terima kasih sambil tunduk tanda hormat waktu pertama kali aku menemuinya dulu. Cuma tak sempat bersembang.

Sambil aku duduk ditepi longkang dan mata meliar mencari sahabat aku yang lain mengedarkan makanan disekitar bus stand Klang itu aku menyambung kata. ” Kami membantu ini pun bukan duit kami Pak Hamid, kami pun lebih kurang Pak Hamid jugak, cuma bernasib baik sikit saja. Ini yang kami bagi ini pun sumbangan orang ramai yang kami kutip dan sumbangan restoran yang prihatin” Aku menerangkan secara jelas supaya Pak Hamid faham bahawa masih ramai lagi insan diluar sana yang simpati dengan nasib golongan gelandangan ini.

” Hang dari Ngo mana?” Tiba tiba Pak Hamid bertanya.

Sambil menunjukan logo di vest aku, aku bersuara , ” Kecik jer Ngo saya Pak Hamid. Nak minta dana kat kerajaan dan dekat sektor korporat pun orang tak percaya Pak Hamid.

” Tak pa, tak pa. Walaupun kecik tapi hang berjiwa besaq. Ngo hang hebat. Nanti aku doa kat hang. Hang dah ajaq aku sembahyang. Hang dah bagi aku baju. Nanti aku sembahyang aku doa kat hang. Dulu hang kata doa orang seperti aku gerenti Allah terimakan! Aku doa kat hang! Pak Hamid bersuara sambil memandang dalam mata aku. Aku cepat ce3pat menundukkan kepala menahan airmata kerana aku tahu Pak Hamid Ikhlas. Aku benar benar terharu. Tak sangka Pak Hamid nak solat setelah pertama kali mendengar tazkirah ku dulu bersama grup gelandangan yang lain sewaktu pertama kali mengumpulkan mereka. Terkesan juga Pak Hamid dengan tazkirah ku. Aku teramat bersyukur pada Allah.

Aku tahu azabnya mereka. Betul kata kata Ali KW,

“Kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran.”

Apa tidaknya, dalam bual panjang ku dengan Pak Hamid. Pak Hamid menceritakan pernah didatangi pendakwah pendakwah kristian cuba untuk menghulurkan bantuan tetapi di tolak oleh kebanyakan golongan gelandangan ini meski pun mereka miskin dan jahil tapi masih lagi dapat mempertahankan maruah mereka namun kita tidak tahu berapa ramai yang telah dikristiankan dek kerana kemiskinan ini.

Sebab itu, seperti yang aku sebut pada awalnya, sekalipun kita ingin membantu negara luar, maka wujudkanlah juga Biro untuk menanggani masaalah kemiskinan saudara kita di negara sendiri ini.

Tanggungjawab

Ikhwah, rasailah tanggungjawab ini untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan ini walaupun dengan sedikit bantuan. Kebanyakan daripada kita merasakan itu tanggungjawab Baitul Mal, pejabat zakat dan jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sebenarnya adalah tanggungjawab kita bersama. Inilah dakwah kita. Bukan hanya menuding jari dan menyalahkan anatara satu sama lain. Jangan suka menghukum orang lain seperti parti politik yang suka menghukum dan mencari salah orang lain tetapi buatlah kerja kita kerana dihadapan Allah, kita tidak bertemu secara jamaiy tetapi “one to one’. Apa kita nak jawab depan Allah nanti akhi?

Akhi, ukhti yang kukasihi …

Kamu tahu tak berapa banyaknya airmata aku hamburkan bila bertemu dengan golongan gelandangan ini? Juga golongan Ibu tunggal yang masih belum aku ceritakan. Golongan anak anak yatim yang kehilangan tempat berpaut. Golongan wanita yang derita kerana terlanjur dan terbuang dari keluarga ….

Inilah medan dakwah ku. Medan dakwah yang penuh dengan airmata, kekotoran, najis, bau bauan yang busuk, lorong lorong yang hina dan yang penuh dengan becak dan kotoran dunia ….

Khadam Ummah

Akhi … kamu tidak akan tahu, jika kamu tidak turun dimedan ini.

Turunlah akhi. Turunlah ukhti kemedan ini. Jika kamu seorang doktor, banyak yang kamu boleh membantu golongan ini, jika kamu seorang psychologist maka khidmat kamu amat diperlukan oleh golongan ini. Jika kamu ustaz, inilah medan kamu sebenarnya dan bukan hanya berkuliah dimasjid!

Tidak ada makna kamu hanya duduk saja sambil mengeluh penderitaan umat tetapi makan yang enak enak bersama keluarga kamu dirumah.

Tidak guna kamu berada dalam jamaah dakwah dan tarbiyah kalau sekadar hanya attend usrah dan program tarbiyah tetapi tidak turun menangani masaalah masyarakat. Jangan jadi mandul dengan tarbiyah tanpa dakwah!

Ingat! Kita adalah Khadam Ummah!

Jangan hanya pandai bersuara tetapi tidak bergerak untuk membantu mereka.

Sesekali, fikirlah, fikirlah keadaan mereka.

Sekali pun mereka ‘gelandangan’, penagih, pelacur dan sebagainya tapi kita adalah khadam mereka. Khadam untuk meluruskan jalan mereka. Dan bukan hidup glemer bersama organisai besar kita tetapi membiarkan mereka menderita.

Turunlah, kerana mereka menangis setiap malam menanti makanan dan pertolongan sepertimana penantian seorang ahli barzah akan kalimat fatihah dari anak anak nya untuk meringkannya dari azab kuburnya.

Akhi, setelah berapa lama bersama mereka dimedan dakwah yang penuh ‘ dengan emosi’ ini, baru aku dapat rasakan jiwa ku semakin lembut, semakin menginsafkan sehingga aku terlupakan diri aku, keperluan aku dan keletihan aku. Memang, aku sering teringatkan mereka.

Baru aku tahu, diantara tarbiyah ruhiyah yang paling terkesan pada jiwa kita dan yang boleh melembutkan hati adalah bersama dengan golongan menderita ini. Ianya banyak membuatkan kita bersyukur akan keadaan kita dan menginsafi kehidupan mereka dan bukan hanya berzikir diatas sejadah meratap syurga dari yang Maha Esa.

jumpa lagi.

muharrikdaie > menulis untuk menggerakkan jiwa jiwa

3 responses to “Aku selalu memikirkanmu

  1. muharrikdaie October 24, 2013 at 9:12 am

    Amal Asyura (@AmalAsyura) October 21, 2013 at 9:07 am –
    Maaf lambat membalas. Mudah saja. Kalau anti ingin terlibat dengan kerja kerja kebajikan ini, mudahnya kena join NGO. Tak kiralah apa dia. Kalau dah ada jamaah pun ok. DiKL ni kita buat program kerja sama di antara NGO. Kalau seorang akhawat nak buat kebajikan lagi senang. D KL ni daftar dengan rumah penyayang. Mereka amat memerlukan sukarelawan untuk mengajar fardu ain anak anak gelandangan dan juga mereka yang terbiar. Cuba pergi web site mereka. Jazakallah.

  2. Amal Asyura (@AmalAsyura) October 21, 2013 at 9:07 am

    Salam wbt. Belajar untuk melihat sesuat dr perspektif yg berbeda. satu soalan yg harapnya dpt bermanfaat kpd orng lain juga, bagaimana harus ana bermula dgn kapasiti seorang akhawat?

  3. MK October 21, 2013 at 3:09 am

    SubahanAllah..syukran atas perkongsian…semoga makin ramai yang akan sedar dan ingin bersama di bahtera ini…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: