andai aku mampu bercerita


ceritaAssalam …

Ya akhi … Nurani ini lembut. Bukan kerana keberadaannya pada manusia yang lembut. Tidak sama sekali. Tetapi ianya berada pada jiwa jiwa yang perihatin. Jiwa jiwa yang dibungkus oleh namaNya dan sunnah kekasihNya.

Umar sekali pun bengis tapi kebengisannya pada kemaksiatan. Kebengisannya pada kemungkaran tetapi apabila berdepan dengan kebenaran, hati Umar lembut dan rapuh. Mudah titisan titisan salju matanya mengalir lesu dan akan laju dan sebak andai dia keseorangan. Apa lagi bila berdepan dengan rakyatnya yang miskin! Beliau pernah berkata;

Aku orang pertama yang merasa akan lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka kenyang

Pernah satu ketika gabenurnya menghantar makanan yang tersedap di Azerbaijan kepada Umar untuk dirasainya sebagai hadiah buat Umar tetapi sebelum makan, Umar bertanya, ” makanan apakah ini?” Jawab utusan yang menghantar itu, ” Ini ” habish” makanan tersedap di Azerbaijan ya Amirul mukminin.”  Umar bertanya lagi, ” Apakah makanan ini dapat dirasai oleh semua rakyat Azerbaijan?”  Merah padam muka utusan itu sambil menjawab penuh getaran, ” Tidak ya Umar.”  Wajah Umar terus merah sambil berkata,” Makanan selazat ini bukan dibuat dari wang Ayah dan Ibu kamu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum kamu kenyangkan perutmu!”

Itu Umar akhi. Umar yang digelar singa. Umar yang apabila lalunya disatu lorong bertempiaran lari para tentera syaitan kerana kehebatan dan ketakwaannya! Tidak sangka Umar ini menangis. Kerana dialah juga Umar yang punya jegilan mata yang berapi, menampar adiknya sewaktu dia jahiliyyah dulu kerana adiknya bertemu Rasullulah. Namun bila nurani itu bertemu iman ia lembut bagai teratai yang hanyut ditasik yang tenang.

Rakyat dizaman Umar tidak ada yang lapar dan susah. Malah melimpah ruah hidup mereka penuh kenikmatan dan rahmat kerana keadilan pemimpinnya.

Tapi dizaman kita akhi …

Tengahari tadi aku bertemu dengan orang yang lapar. Seorang kakak penjual goreng pisang.

Aku ingin singgah untuk makan tengahari namun mata ku digamit oleh sebuah gerai lusuh tersorok dicelah satu lorong berhampiran kedai tersebut. Memandangkan hujan lebat aku hanya terpaku didalam kereta memandang kearah kakak itu. Aku perhati gelagatnya. Resah. Sesekali dia mengesat mata dengan apron yang dipakainya. Dalam kabur hujan yang melaju yang menampar cermin depan kereta aku, masih aku nampak dia mengesat matanya. Dalam hati aku berkata, ” mungkin dia mengesat tempias hujan yang singgah di pipinya!” Tapi setelah aku amati betul betul, aku dapat rasakan bahawa kakak itu menanggis.

Sayu hati aku! Tanpa menunggu hujan berhenti, aku turun dengan menggunakan akhbar untuk menutup kepala dan terus ke gerainya! Tergamam dia melihat aku menuju gerainya sambil melemparkan senyum yang dibuat buat sambil menyapa, ” Goreng pisang dik?” Aku meletakan jari ketimbunan goreng pisang dihadapan aku. Sejuk. Sesejuk hujan. Kecut. Sekejut jemari aku yang terkena hujan. Memang tidak menyelerakan melihat goreng pisang itu. Tapi aku paksa juga tangan ini mengambil satu untuk dirasa. Tawar. Setawar hati kakak itu agaknya.

” Dah sejuk dik, akak goreng pukul sebelas tadi.” dia bersuara. Terkejut aku dari melamun.

Tujuan aku bukanlah untuk memberi goreng pisang itu tetapi hati aku terpanggil untuk tahu mengapa kakak itu menangis. ” Errrm, tak apalah kak. Kalau dah peminat goreng pisang, sejuk pun sedap.” Aku jawab berkias untuk menutup rasa tak selesa kakak itu terhadap barang jualannya.

Dia senyum kembali pada aku. Tapi tetap hambar. ” Nak berapa ringgit?” Dia bertanya aku seolah olah ingin menghalau aku cepat dari gerainya. ” Errrmmm, tak apalah kak. Biar saya makan dulu puas puas lepas tu akak kira, sekarang pun hujan. Biarlah saya berteduh dulu sambil makan.” Aku beralasan.

Tujuan aku adalah untuk mengetahui kenapa dia menangis. ” Duduklah.” Dia menyuruh aku duduk sambil menghulurkan kerusi plastik yang kekaratan.

Memang hiba aku melihat wajah lusuh ini. Biarpun aku rasa usianya sekitar 40an tetapi jelaga dan kerutan diwajahnya memperlihatkan keperihan hidupnya melawan takdirnya. Aku amat biasa melihat wajah wajah begini acapkali melaksanakan dakwah jalanan kepada golongan gelandangan dan setinggan yang hidup melarat malah wajah ayah dan ibu aku dulupun begitu. Letih dan duka dalam kemiskinan dalam melaksanakan pertanggungjawaban mereka terhadap anak anak mereka.

Aku tenung akak ini sedalamnya ketika dia menunduk. Dan aku alihkan pandangan ketika dia merenung aku. Sehingga satu tika aku terperangkap ketika merenung dalam wajahnya tapi dapat jugak aku cover dengan soalan ….. ” Ermmm, Akak tinggal dimana?” tanya ku.

Sambil menunjuk kearah belakangnya dia menjawab, ” Tu Flat kat belakang tu, flat Kg Medan tu. Flat perpindahan rumah setinggan dulu.” Panjang jawabannya.

” Owh. errm … Oklah tu Kak. Bukan senang nak dapat rumah sekarang ni. Rumah sekarang mahal mahal. Kalau setakat gaji dua tiga ribu, nak beli flat pun rasanya tak mampu. Kira akak bertuahlah ” Jawabku ikhlas.

” Bertuah tu memanglah bertuah,” Dia bersuara.

Tapi kali ni bunyinya parau. Sebak. Tiba tiba dia  terus menangis tanpa dapat ditahan. Agaknya, dia tidak dapat menahan apa yang disimpannya dari tadi. Aku kaget. Terkejut. Tersentak.

Memang laju tangisannya selaju hujan yang masih turun. Hanya aku dan dia saja digerai tu. Aku biarkan saja dia melawan ombak perasaannya.

Setelah lama dia bersuara ” Maafkan akak dik. Maafkan akak. Akak malu nangis depan kamu tapi akak tak dapat tahan. Dari tadi dah akak tahan.” Sambil bercakap dia terus menangis. Aku biarkan saja. Aku tak jawab sepatah kata pun. Aku biarkan dia reda.

Setelah reda dan esaknya terhenti, aku bertanya dia, ” Boleh saya tolong akak. Kenapa akak menangis. Kalau tak keberatan, boleh saya bantu.” Aku bersuara sambil menawarkan bantuan.

Pada awalnya, berat jua untuk dia menceritakan pada aku akan kisahnya tapi setelah aku desak beberapa kali dan serius untuk membantu, barulah dia menceritakan pada aku bahwa telah seminggu suaminya menceraikannya tanpa meninggalkan apa apa, setelah krisis rumahtangga mereka berlarutan. Selama ini dia tersiksa kerana di pukul dan ditendang suaminya tetapi demi anak dia tahankan juga.

Keluhnya, suaminya seorang yang panas baran, ada masa ok dan ada masanya tak ok. Dia menceritakan pada aku, dulu dia bekerja dikilang tapi beralih menjual goreng pisang setelah disuruh suami kerana mudah untuk mengurus tiga anaknya yang masih bersekolah. Memandangkan setelah dirinya diceraikankan, tanpa sebarang tinggalan duit simpanan pun dan jualan nya juga tak seberapa beberapa minggu ini dan ditambah masaalah nak bayar rumah, bas sekolah anak dan membeli beras …. dia hampir berputus asa. Itulah yang membuatkan dia buntu.

Aku hanya cuba menasihatkan dia supaya dapat pergi ke Pejabat kebajikan masyarakat, Pusat zakat dengan membawa dokumen dokumen yang perlu untuk dia memohon. Itu saja yang mampu untuk aku membantu. Perkara ini pun aku tahu setelah pernah mengikuti sukarelawan menziarahi ‘ orang orang gelandangan’ dulu untuk diberi motivasi dan membantu dan diberitahu bahwa, tempat tempat begitu boleh dapat bantuan jika cukup dokumennya.

” Terima kasih dik, atas bantuan nasihat.” Dia bersuara dalam keadaan sedikit ceria. ” Tak apalah kak, kecik jer pertolongan tu, insyaalah.

Berapa goreng pisang ni? Saya makan enam ketul tadi.” Aku bertanya harganya.

” Tak apa, tak apa. Tak payah bayar. Akak sedekah jer. Goreng pisang tu pun dah sejuk. Dia menjawab malu malu.”

Aik!! Orang susah pulak nak tolong orang senang!” Aku melontar kata gurauan sambil tersenyum.

” haha” Dia ketawa.

” Ok kak. Akak bungkus semua goreng pisang ni. Saya beli semua. Sebab kawan ofis saya pesan tadi ” Aku tipu dia hanya sekadar untuk membantunya.

Setelah dibungkusnya. Aku membuka wallet jenama camel ku yang hampir lima tahun tak berganti tu, sambil teragak agak antara ingin memberi dan tidak! Aku keluarkan juga RM 400 balance gaji bulan Oktober ‘ nadi nyawa’ aku untuk aku hidup bulan ini dan terus meletakan ditapak tangan kakak itu sambil berlalu pergi tanpa memandang kebelakang lagi.

Sambil menghidupkan kenderaan, aku sempat mengerling kearah kakak itu. Aku lihat kakak itu terpingga pingga melihat duit ditangannya sambil menarik apron yang dipakainya untuk mengesat airmata deritanya!

Memang kecil duit 400 yang ku sedekahkan pada dia. Tapi bagi diri kakak itu amat besar dalam saat kesempitan itu. Dan bagi aku, pendakwah miskin dhoif dan naif ini juga amat besar juga kerana duit RM400 itulah juga penyambung hidup dan penyambung dakwah ku hingga hujung bulan ini. Namun aku masih lagi punya kad kredit bank islam yang boleh aku mengadu untuk mengisi minyak dan membanyar tol. Untuk makan, aku masih punya ramai sahabat sahabat yang baik baik untuk membantu!

Aku kembali menyambung memakan goreng pisang sejuk dan keras yang berbaki yang boleh dimakan sepuluh orang itu kerana itulah rezeki lunch aku tengah hari jumaat ini. Untuk malam ini mungkin sardin dan nasi atau maggi berkuahkan air panas, penyambung hidup aku! Tetapi esok? ….. Esok pastinya aku akan menjadi seperti burung yang tidak pernah memikir akan rezekinya kerana dia tahu hanya Allahlah penentu dan pemberi rezekinya ….

Aku yg fakir sisi Allah

muharrikdaie > menulis untuk menggerakkan jiwa jiwa

4 responses to “andai aku mampu bercerita

  1. hani December 30, 2013 at 11:12 pm

    kadangkala pemberian itu nampak kecil di mata kita sebagai manusia yang memberi namun impaknya besar kepada yang menerima. ALLAH menilai setiap perkara daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. justeru itu, jangan kita teragak-agak dalam memberi atau menghulurkan pertolongan kerana pertolongan ALLAH datang dalam kehidupan ini tanpa kita duga dan ia datang dalam pelbagai bentuk dan cara….

  2. muharrikdaie October 19, 2013 at 10:51 am

    Teman teman dakwah ku. terima kasih atas segala komen yang diberi. Ianya sebagai pendorong untuk aku terus menulis buat kamu mengambil ibrahnya. Doa kan aku, daie kerdil yang serba kekurangan ini berkarya. Insyaalah

  3. Muslimah October 19, 2013 at 9:45 am

    Subhanallah akhi.. Smg Allah memberkati rezekimu… & menambahknnya berganda lagi.. Insya Allah

  4. MK October 19, 2013 at 9:44 am

    Ya, anda mampu mengubahnya..semoga paparan kisah ini mampu menjadi pendorong kepada sekalian umat..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: