leburkanlah dirimu …


Salam dakwah buat semua.

Akhi,

Kita sudah tidak punya waktu. Hanya waktu ini yang tersisa. Dan yang tersisa inilah saja batas waktu yang ada untuk kita leburkan diri dijalan dakwah ini yang membentangkan amal kita antara kelahiran dan kematian kita!

Semuga kamu semua diberi kekuatan untuk terus menyeru dan menyeru manusia terhadap ubudiyah kepada Allah serta tidak jemu jemu untuk membina iman sebagai bekalan.

Aku paksakan diri ini untuk menulis lagi, kerana jika tidak, ilmu dan pengalaman aku ini akan menjadi seperti embun dihujung pagi. Hilang begitu sahaja bila timbulnya mentari yang juga akan menghilangkan pahala perkongsian yang bukan mudah untuk dimiliki.

Memanglah tidak mudah untuk menulis. Apa lagi untuk istiqamah dalam menulis. Lebih lebih lagi menulis dalam rangka untuk mentarbiyah manusia.

Dan tentunya tak semua manusia suka tulisan kita!

Ada tikanya kita mendapat pujian membuak buak hingga pujian itu termuntah dari hati kita yang selalu kembang kempis ini bila dipuji!

Itulah hakikatnya manusia!

Dan ada waktunya mereka yang pernah memuji kita dulu itu, bertukar menjadi jemu bosan … hingga mereka meninggalkan laman blog yang pernah menjadi idola mereka dulu dan tempat mereka ziarahi!

Itulah lumrah seorang penulis yang harus terus sabar dan ikhlas dalam menulis sambil membina manusia.

Sebagai penulis dakwah, kita kena faham bahawa makhluk ini memiliki kecenderungan dan pilihan pilihan. Sebab itu murabbi ku dulu pernah berpesan,

” Akh, kalau anta nak menarik akhawat, tulislah dengan bahasa cinta, kalau dengan ikhwah tulislah dengan bahasa ukihuwah. Insyaalah, mereka akan menerima anta.”

Bagi aku, aku tak kisah semua itu kerana tujuan aku menulis, yang pertamanya adalah untuk membangunkan jiwa aku sendiri supaya sentiasa konsisten dalam amal dan hubungan dengan Allah. Kemudianlah baru aku berniat menulis ini untuk menarik mereka mereka yang sudi bersama aku untuk terus membina semangat menjadi duat. Menjadi abid. Memperbaiki amal dan akhlak dan menjadi manusia yang sering dapat memuhasabah diri, agar kembali kepada kehendak kehidupan yang diinginkan oleh Allah

Perlu kita tahu jugak bahawa manusia duat seperti kita ini, yang bergerak dijalan dakwah ini juga terlalu amat sedikit yang berjaya dan mampu sampai ke ujung kehidupannya bersama kembar dakwah ini kecuali yang benar benar faham dan mampu bertahan dengan rambu rambu jalanNya yang tegar.

Itulah kita …

Jangan kita rasa kita dah terlalu hebat dan tidak perlu lagi nasihat nasihat! Jangan juga kita memandang kecil nasihat nasihat dakwah dari teman teman kerdil disekeliling kita meski mereka adalah junior kita, kerana terlalu asyik terbuai dalam ayunan syurga khayalan!

Belum lagi akh! Kerana tarikan tarikan kebaikan dan keburukan akan terus berlangsung dalam diri kita disepanjang kehidupan ini …

Jika tidak berhati hati menyesal kita nanti …

Justeru itu dijalan dakwah dan tarbiyah ini kita kena harus bijak merumuskan kehendak kehendak jiwa kita melalui ‘ tarbiyah paksaan’ terhadap nafsu kita yang melekat pada dunia ini, agar ruhiyah kita sentiasa terjaga. Ibadah yaumiyah sentiasa dipelihara. Supaya sifat kemanusiaan kita yang turun naik itu akan terus mendapat perhatian jiwa kita!

Kerana dengan jiwa yang hidup sahaja kita boleh istiqamah dijalan dakwah ini! Dan istiqamah memerlukan ‘ kesempurnaan peribadi’ untuk dilebur dijalan dakwah ini dalam melawan segala kefasadan dan projek kerusakan dan diganti dengan kehidupan masyarakat yang putih dari cahaya langit dan keberkahan bumi!

Ingatlah sekali lagi bahawa..

untuk menjadi hamba yang sempurna kita harus memiliki kesempurnaan peribadi dengan menyuci akal kita dengan terus terusan menuntut ilmu, menyuci hati kita dengan iman dari ilmu itu dan menterjemahkan keduanya dengan amal!

Dan yang paling penting adalah berusaha untuk mempertahankan kesempurnaan itu hingga akhir hayat kerana nilai diri kita bukan ditentukan diawal hidup kita. Tidak juga dipertengahan hidup ini tapi adalah dihujungnya. Ingat sekali lagi akh! Dihujungnya. Dan kekuatan kita adalah kesabaran kita bertahan!

Nasihatku sebelum mengundur diri….

Leburkanlah diri dalam dakwah. Leburkanlah diri dalam jamaah kerana jamaah itulah daulah didalam realiti kita yang penuh dengan keberkatan didalamnya.

Hadirlah disetiap program jamaah kerana setiap program itu adalah tarbiyah meskipun jamuan hari raya. Jangan hanya anggap usrah, tamrin dan program spiritual sahaja program tarbiyah kerana jika itu kefahaman kamu, kamu masih tidak faham lagi erti intima’ sebenarnya!

Jangan berpilih pilih menghadiri program jamaah sepertimana kamu memilih penyanyi atau lagu kesukaan kamu kerana disetiap program didalam jamaah yang kita intima’ itu penuh dengan keberkatan dan kita tidak tahu program manakah Allah akan lekatkan keberkatan itu pada kita!

Akhi … tidak guna berjamaah jika hidup kita berujung dengan mencintai dunia …. dengan anak isteri dan suami …. dengan harta dan kekayaan …. dengan pangkat dan keglamouran.

Tidak guna berjamaah jika hidup kita tidak kita leburkan didalam dakwah …. kerana dakwahlah terjemahan dari kesempurnaan peribadi kita yang telah kita hadamkan didalam tarbiyah bertahun tahun itu!

Setiap nafas yang dihembus, setiap degupan jantung aku selalu memikirkan dakwah …
Dalam sedar, dalam tidur dan dalam khayalan. Aku selalu memikirkannya…. apakah aku telah melaksanakannya!

Ternyata ku perlukan cinta …

Cinta dari mu Allah
Barulah terasa ku bernyawa dijalan dakwah ini …

… untuk memburunya yang tak kumiliki didunia ini

jumpa lagi …

muharrikdaie – menulis untuk mengerakkan jiwa jiwa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: