disini kita terus belajar


Salam buat semua …

Akhi ukhti …

Tidak semestinya lama aku tidak menulis, aku melupakan kamu semua. Aku sentiasa ingat pada kamu. Malah doa doaku terus berlingkar lingkar seperti cabang cabang sungai menuju laut. Begitulah doa itu mencari setiap hati kamu supaya kita sentiasa berhubungan dialam ruhani mengecap kemanisan iman yang sentiasa menjadi pagar hidup kita.

Ramai yang bertanya, kemana aku pergi dua minggu membisukan diri!

Sebenarnya hidupku berjalan seperti biasa tapi aku tidak mampu untuk menulis. Mungkin sedikit tertekan dengan keadaan keadaan!

Bukan masaalah peribadi yang ku maksudkan, kerana masaalah peribadi boleh aku tolak ketepi, tapi  adalah  masaalah jamaah yang sedang lemah ini yang memerlukan aku dan tenaga aku. Makanya  tidak bolehlah aku biarkan ianya berlalu begitu saja kerana ianya satu pertanggunjawaban.

Memang inilah yang harus disedari oleh kita semua kerana kita  adalah sebahagian dari nyawa jamaah itu sendiri.

Lemahnya jamaah adalah kerana lemahnya kita yang memacunya kerana  kita ini adalah jamaah manusia dan bukannya  jamaah malaikat dan pastinya akan berada dalam situasi turun naik dalam bertarung dimedan dakwah ini!

Apalagi jika  ada antara kita tidak konsisten menjaga iman dan amal serta hubungan dengan Allah, sudah tentu  kombinasi nafsu dan syaitan yang telah  terjalin persefahaman mereka sejak sekian lama berkelindan  mampu meratah kita satu persatu hingga runtuhnya jamaah ini!

Sebab itu bila ada diantara sahabat sahabat kita yang memegang struktur jamaah itu lemah dan futur maka perlulah kita mengantikannya sehingga dia kuat kembali menguatkan jamaah!

Akhi ..

aku tahu, terkadang ada antara kamu tertanya tanya kenapa ada dikalangan kepimpinan kita lemah dalam menerajui jamaah ini sedangkan merekalah yang sepatutnya menjadi qudwah kepada kita?

Sebenarnya  kelemahan adalah perkara biasa didalam organisasi. Kita akan terus diuji dan teruji. Sebab itu kita kena ‘menghayati tarbiyah’!

Jika hanya mengikuti tarbiyah tetapi tidak menghayati tarbiyah, kita  akan kehilangan  ‘rasa’.

Apabila kehilangan rasa , kita ibarat benda yang tidak bernyawa yang tak punya lagi kendali diri. Itulah puncanya.

Menghayati tarbiyah bukanlah sesuatu yang mudah kerana kamu harus mengekang diri kamu dari istirihat kerana istirihat ini adalah musuh terbesar kita meskipun berada didalam kesibukan yang mendera.

Sebab itu kita lihat ramai yang mengikuti tarbiyah tetapi tidak berprestasi dan tidak produktif. Lemah dan terus lemah meskipun mereka adalah pemimpin, murabbi dan sebagainya sedangkan mereka sepatutnya punya gerak yang tak kenal henti. Teguh dan tidak kenal menyerah kerana itulah bukti kejujuran dengan dakwah ini!

Tapi apa yang berlaku kepada kita tidak seperti Abu Ayub Al Ansari yang sentiasa bersemangat biarpun usia mencecah 80 tahun masih didalam jihad.

Adapun kita adalah yang suka istirehat.

Tidur sepenuh kelopak mata. Makan sepenuh mulut. Tertawa sepenuh kerongkong dan menghabiskan waktu dengan FB movie Youtube hingga yang terjelma dari diri kita adalah tubuh tubuh yang gemuk dan montel serta airmuka yang keruh keletihan dalam istirehat!

Marilah akhi …

kita menuju kepada pengislahan.

Menuju hasasiyah iman dan taqwa dan meninggalkan istirehat dan menjadi manusia cahaya yang bersedia menerangi diri kita dan manusia lain. Agar satu hari nanti kita tidak berlari ketakutan menghindari kematian dan dapat menghijab diri kita dari kesakitan kematian yang melolong.

Jangan kita jadikan waktu yang berbaki ini bagai limbah yang tak berharga dan menjadi pak turut kepada dunia.

Jadilah kita seorang pencinta.

Memang seorang ‘Pencinta’ sibuk dengan cintanya. Sehingga dia merasakan kelazatan seluruh yang dicintanya. Jika banyak perkara yang ia cinta maka ia harus membahagikan ruang waktu untuk semua yang dicintainya.

Begitulah aku sekarang ini. Sedang bercinta dijalan ini dan semua yang datang atas nama dakwah adalah menjadi kekasihku dan akan aku layan dengan penuh kasih sayang mengikut yang diperlukan! Maksudku, aku akan mendahului perkara yang lebih aula’.

Dan tika ini cinta ku tertumpu berniaga untuk dakwah dan  ini adalah yang paling utama dalam hidup aku sekarang kerana keewangan adalah nadi  untuk  keberlansungan dakwah dalam  melaksanakan program program. Sebab itu aku amat memberi fokus  pada business ini disamping program membimbing mad’u.

Rezeki orang berniaga seperti aku adalah seperti rezeki burung. Tidak menentu. Namun aku tetap bertawakkal seperti  burung yang  punya tawakkal yang tinggi pada Allah. Mereka keluar pagi dan balik petang dalam keadaan redha akan ketentuan Allah. Tidak pernah tamak dan menyimpan rezekinya tanpa diberikan pada yang lain. Jika sikit, sikitlah yang dikongsi bersama ahli keluarganya. Mereka yakin esok Allah akan beri rezeki yang lain pada mereka. Burung tidak pernah bergaduh kerana rezeki, kerana mereka diajar oleh Allah untuk menjaga ukhuhuwahnya.

Disini aku terus belajar …diatas pilihan hidupku dijalan ini. Aku sudah mula mengerti sebenar benarnya untuk menyerahkan segala orientasi hidup ini pada Allah swt sahaja. Dan aku telah menemukan Tauhid yang hakiki yakni jaminan penghidupan dari Allah. Kalau dulu aku hanya  bertawakkal pada gaji yang diberikan oleh majikan kepada ku tapi berbisnes ini  telah mengakrabkan lagi hubungan ku dengan Allah mensyukuri segala pemberianNya meski pun terkadang rezeki ku hanyalah butir airmata  …

Namun akhi ……jiwaku tenang setenang nya kerana aku telah mampu menjual syahwatku untuk cuba meraih syurgaNya …

Jika seorang hamba dipagi dan dipetang harinya, tidak mempunyai keinginan apapun kecuali Allah SWT . Maka Allah akan memikul seluruh keperluannya. Allah akan memberikan semua keinginannya. Mengosongkan hatinya untuk cinta padaNya. Menjadikan lisannya berzikir padaNya. Menjadikan seluruh anggota tubuhnya memenuhi ketaatan padaNya. Tapi … jika seoramg hamba dipagi harinya tidak mempunyai keinginan kecuali dunia. Maka Allah akan membebankan padanya semua yang menjadi keinginannya. Allah akan meninggalkannya dan menjadikan hatinya sibuk dari ketaatan padaNya dengan mengabdi pada manusia sesamanya. Ketahuilah setiap orang yang menolak dari menghamba pada Allah, ketaatan dan kecintaan padaNya, maka dia akan diuji dengan penghambaan pada sesama makhluk, mencintai dan mengabdinya! ~ Ibnu Qayyim

Inilah jalan yang aku pilih dalam hidup ini.

Dan insyallah sama sama kita cuba untuk mengubah jalan hidup ini menjadi dengan lebih baik lagi dengan bertambahnya usia kita ini. Jangan biarkan kesempatan yang ada ini berlalu begitu sahaja kerana setiap fajar pagi merekah akan tertangguplah semalam kita yang tidak akan kembali lagi sehingga hari qiamat.

Ambilah kesempataan dalam penundaan azab Allah kepada kita diatas dosa dosa kita yang telah kita lakukan. Penundaan azab ini adalah satu rahmat dari banyaknya rahmat Allah kerana dengan penundaan ini, Allah masih memberi peluang kepada kita untuk merubah dan bertaubat diatas kelalaian kita masa lalu.

Gunakanlah kesempatan ini untuk terus kita cuba meraih cintaNya …

jumpa lagi insyaalah

muharrikdaie – menulis untuk mengerakkan jiwa jiwa

 

One response to “disini kita terus belajar

  1. mujahidah April 3, 2011 at 9:12 pm

    akhi,
    memang satu kepuasan dalam diri bila dapat ‘menjual shahwat untuk meraih syurgaNya. Namun, hakikatnya, bila ketenangan itu datang, maka kita akan diuji…dan terus diuji. Jika tarikan dunia di satu sudut dapat kita atasi, datang pula dari sudut yang lain…

    kadang-kadang, diri rasa penat…

    Tapi kerna syurga Allah itu mengiurkan…dipaksa diri untuk terus bermujahadah..semoga Allah terus berikan kekuatan kepada kita…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: