cinta masa lalu


Salam buat semua yang ku kasihi …

Aku kembali lagi untuk menulis buatmu.

Teristimewa buat sebelas orang yang mengsubscribe blog aku. Mungkin dulu ada dua belas  …

Memang sedikit sekali jasad jasad yang meminati tulisan tulisan ku. Namun itu sudah cukup memadai buat aku untuk aku melakarkan bait bait tulisan ku dalam mewarnakan waktu waktu terluang kamu  sebagai tanda terima kasih yang tak terhingga diatas sokongan kamu terhadap aku.

Aku bangga. Sekurang kurangnya ada juga kamu semua yang setia disini  yang memotivasikan aku untuk terus menulis sehingga membuatkan aku berusaha untuk menschedulekan waktu buat kamu!

Cemburu

Memang cemburu melihat blog blog yang dah famous yang punya beribu mata yang membaca dan berjuta jari jemari yang mengclick!

Bukan aku cemburu untuk  meraih keglamouran ddidunia maya ini tapi cemburuku adalah kerana tidak dapat mengutip pahala yang banyak dari amal amal tulisan ku sepertimana mereka.

Apalah yang mampu diberikan oleh insan kerdil seperti aku ini selain tulisan yang merapu dalam bait bait puisi yang berdebu!

Tidak seperti Blog ” Saiful Islam”, ” Inilah jalanku”, ” muntalaq” dan blog murabbi dakwah yang lain yang telah menulis dengan ilmu yang tinggi dan kefahaman yang hebat hingga membuatkan aku kaget dan terbius melewati perjalanan kehidupan dakwah mereka dengan usaha dan kelebihan yang mereka miliki. Pastinya mereka adalah insan yang ” beramal “ dengan ilmu dan kata katanya. Jika tidak masakan tulisan tulisan mereka bagai tusukan lembing yang merobek jiwa!

Kawan,

Aku memang seorang yang sangat cemburu kepada teman teman dakwahku yang mendahului aku dalam ibadah dan dalam amal dakwah mereka! Lalu cemburu itu jugalah yang sering membuatkan aku termotivasi dan teransang untuk menghadirkan kekuatan didalam diriku  untuk terus menghirup iman dijalan dakwah dan tarbiyah ini.

Seboleh bolehnya ingin aku jadikan disetiap denyutan nadi ku ini menjadi satu unit amal dan pahala,  supaya minit minit hidup ini tidak tersia yang boleh dicatatkan oleh malaikat penjagaku sebagai amal soleh  didalam buku catatan akhiratku.

Ini bukanlah bermakna aku ingin membeli syurga Allah itu dengan amal amalku, kerana  sebanyak mana pun amal kita, tidak  mungkin dapat melebihi  nikmat dan kurniaNya dan syurga itu juga bukanlah diisi dari amal amal manusia tapi adalah segalanya mesti melalui ” Rahmat ” Allah. Justeru hadirnya rahmat Allah itu semestinya melalui pemerosesan dari kesungguhan amal kita  hingga terjelma semangat ” Ubudiyah” dari jiwa yang ikhlas  yang cintakan Tuhannya!

Kawan

Sifat cemburu itu baik kiranya kita arahkan kepada akhirat!

Kisah kisah cemburu

Dulu aku pernah cemburu pada seseorang!

Seseorang yang ku tahu hidupnya basah dengan keringat keringat dakwah melebihi dari kepentingan hidupnya. Aku cemburu pada  cinta dan kesungguhannya. Istiqamah penuh keghairahan dijalan dakwah ini sehingga  membuatkan aku amat teruja  ingin mendekati dan memilikinya.

Mungkin kerana seringnya doaku terarah kepadanya dan kuatnya sifat kebersamaan dalam ‘citarasa’ dakwah itu, tanpa disangka dia menawarkan! Dan kerana terlalu mahalnya tawaran itu bagiku maka mudah aku menerimanya  yang akhirnya mudah juga dia pergi dijemput takdir!

Memang aku kehilangannya. Kehilangan ruhnya. Kehilangan bara bara dari semangatnya. Kehilangan sebuah model yang mampu menyempurnakan sebuah madrasah!

Seandainya iqbal  masih hidup, pasti didalam sajaknya  beliau mengumpamakan kisah ini  ” Seperti Muhammad kehilangan Khadijah”. meskipun laranya tak seberat mana!

Apakah kamu akan berhenti dijalan dakwah ini andai tribulasi begini hinggap dan datang bertamu saat kamu memerlukan seseorang?

Tentunya tidak bukan? Kerana seorang da’i harus terus bersemangat  dalam apa jua suasana. Kerana tarbiyah tidak  pernah mengajar kita bersifat negatif malah mengajar kita mengutamakan matlamat yang lebih jauh lagi. Dan tarbiyah juga mendidik kita untuk mengenal bahwa setiap tangga marhalah itu ada ujiannya dan setiap pusingan mehwar itu ada halangannya kerana fitrah ujian itu adalah semata mata untuk menguatkan mental kita menjadi solid dan kuat dan menjadikan karakter kita kokoh dan tangguh! Inilah sifat ijabiyah yang perlu dijiwai oleh kita!

Aku juga pernah cemburu pada sahabat aku dulu yang sama sama menuntut di Darul Quran sementara menunggu tawaran  ke Universiti. Cemburu kerana cerdasnya beliau menghafal ayat ayat quran sehingga ianya memotivasikan aku untuk menyainginya.

Tidak sampai setahun aku disana, aku mendapat tawaran dan terpaksa melanjutkan pelajaran dan dia kekal disana dan kini telah bergelar Al-Hafiz dan masih lagi menuntut di Madinah. Sehingga sekarang aku termotivasi  diatas kecemburuan itu dan aku masih tanamkan azam untuk menghafal  30 juzuk Alquran yang tertangguh itu kerana tidak berkesempatan dulu kerana terpaksa mengejar cita2 dan impian aku!

Apa yang ingin aku sampaikan pada kamu semua  ialah supaya supaya kamu mengerti bahawa didalam hidup ini kita tidak perlu ada rasa ingin berhenti untuk bersaing dalam mengejar impian sehingga kita menemui Allah!

Nafas nafas kemahuan

Selagi kita mampu menarik nafas dan menyorong kemahuan, selagi itulah pintu pintu amal dan kebaikan ini terbuka luas buat kita asalkan kita punya kesungguhan.

Janganlah kita sering berkalau dan beralasan untuk menutup kemalasan dan kefuturan kita! Sepatutnya semakin kita berusia, kita semakin matang untuk membaiki  fasa  fasa kehidupan ini dan bertambah tambahnya laju dan maju lagi kedepan.

Sebagai qudwah yang punya pengikut, kita sepatutnya lebih  menonjol dan bukannya seperti kura kura yang menyorok kepalanya bila berdepan dengan ujian.

Kita tidak sepatutnya berundur kebelakang. Malas dan beku dalam menulis dan berdakwah serta meneruskan mas’uliyah ini. Lagi tinggi dan jauh fasa hidup ini merubah kita, sepatutnya kita dapat mengumpul energi, lebih lebih lagi kalau kita sudah punyai pembantu disisi, yang boleh kita gabungkan energi itu menjadi synergy untuk menguatkan dakwah ini!

Kita bukan dimedan perang akh, beralasan berundur untuk mengumpul strategi untuk menyerang. Kita masih dimedan dakwah yang senang lenang. Jika berundur, bermakna kita futur bukan mengumpul strategi.

Ingat! Jangan sampai kefuturan kita itu menjadi istidraj lalu Allah tutupkan pintu pintu amal hingga kita tidak mampu lagi untuk beramal sepertimana dahulu! Tidakkah malangnya kita?

Bagi aku, aku punya citarasa yang tinggi didalam hidup ini. Aku tidak mahu mengambil mudah dalam hidup ini. Aku ingin merasa puas berusaha dan puas memegang ” kepanasan bertawakkal”.

Biarlah aku tidak mendapatkan sesuatu itu, asalkan aku merasa ‘puas’ dalam berusaha untuk mendapatkannya!

Pastinya kamu tahu, jika seseorang itu ikhlas mencintai sesuatu, sudah tentu ia akan berusaha mendapatkannya. Sama ada dia dapat atau dia mati dalam berusaha mendapatkannya. Disitulah terpatrinya keindahan cinta itu.

Disitulah penghayatan cinta itu dan disitulah sunnah mengajarkan kita mencintai deen ini setelah kita hayati sepenuhnya!

Benarlah apa yang dikatakan oleh Al banna …

Islam itu tidak akan menjadi indah jika kamu tidak bangun untuk menghayatinya

Keindahan cinta

Keindahan mencintai deen ini dapat kita rasai apabila kita menghayatinya sepenuh jiwa.

Dan sepenuh jiwa itulah yang membuatkan kita senantiasa istiqamah dan konsisten diperjalanan ini. Kita tahu bahwa persoalan paling berat bagi seorang da’i bukanlah bebanan bebanan dakwah yang ditanggungnya tapi adalah bagaimana untuk bertahan dan konsisten dalam melaksanakannya.

Memang sukar untuk mengukir sebuah prestasi besar dalam kehidupan ini sehingga akhir hayat kecuali kita punya satu jiwa yang sukar untuk diganggu gugat dan jiwa itu adalah jiwa perindu yang telah kita semai sejak mengenal dakwah ini.

Mungkin kalau kita renungkan cinta cinta masa lalu kita amat berbeda!

Mungkin cinta dahulu cinta yang tidak setia. Kita bercinta dalam derhaka. Kalau dulu, kita sering bertanya pada diri kita, apa kemahuan kita! Tapi sekarang kita bertanya, apa kemahuan Allah kepada kita! Dan jika ini kita fahami  barulah kita dapat mengorak langkah untuk mengelilingi mehwar selepasnya sehingga jiwa kita menjadi jiwa perindu. Jiwa yang merindukan langit dari segala isinya!

Memang, memang aku sangat terinspirasi kata kata Umar Abdul Aziz …

Sesungguhnya aku mempunyai jiwa perindu. Tidak pernah jiwaku meraih sebuah kedudukan, melainkan pastinya aku merindukan lagi kedudukan diatasnya. Sekarang aku telah sampai pada kedudukan tertinggi didunia ( khalifah) dan tidak ada lagi yang melebihi kedudukan itu. Tapi jiwa ku masih belum puas kerana aku mulai merindui Syurga  …

Memanglah sukar untuk meraih jiwa seperti Umar ini tapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita berterusan didalam tarbiyah dan menghayati tarbiyah dengan penuh keseriusan dan mentaati menurut syurutnya!

Kalau Umar dijadikan dari tanah yang keras dan liat. Kita juga dijadikan dari tanah yang sama. Mustahilkah?

Atau jika kita tidak boleh sampai kemaqam Umar, tidak kah mampu untuk kita merubah diri menjadi seorang manusia terbaik selevel kita?

Memang kita lemah sebab terpengaruh akan unsur tanah dalam diri kita. Justeru itulah tarbiyah dan mujahadahlah sebaik baik teman bagi kita untuk melembutkan sifat ” liat dan keras” itu.

Oleh itu akh ….mari sama sama kita leburkankan diri kita didalam kawah tarbiyah ini meskipun kawah tarbiyah ini mengelegak panasnya namun inilah saja jalan yang ada bagi kita untuk mengakhiri dan menutup cerita kehidupan kita.

Dengan penghayatan tarbiyah ini sajalah yang boleh menghadirkan kerinduan abadi kita kepada syurga dan kecemasan abadi  kita kepada neraka  serta menyempurnakan usaha usaha manusiawi kita dengan berdoa kepada Allah agar dikhatam kan kita dengan syahid dan husnul qatimah dan ini sajalah ukuran yang menentukan nilai hidup kita sebagai seorang pendakwah yang benar mengikut manhaj NabiNya.

الفقير إلى الله

muharrikdaie ~ menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

12 responses to “cinta masa lalu

  1. muharrikdaie December 16, 2010 at 3:27 pm

    Adik ku safitri,

    Terima kasih. Tak perlu tercari cari insan kerdil ini. Dia berada dimana mana dimaya ini berkongsi cerita dan menebarkan harum semerbak mawar dakwah didalam semangkuk syurga agar kita dapat mengukir kilau tubuh didalam redhaNya.

    Jazakallah kerana sudi bertandang.

  2. safitri December 9, 2010 at 1:20 pm

    tercari2 siapa apa sebenarnya muharrikdaie yg sering teman2 seperjuangan post kat FB..rupanya kat sini.,menulis untuk menggerakkan jiwa2..insyaAllah..penulisan dari hati akan tembus ke hati..sikit yg melawat laman blog ni,lama2 jadi bukit..bukan untuk kejar glamour,tapi boleh jadi petunjuk dan panduan bagi menggerakkan jiwa2 yg lesu..hatta hanya sepotong ayat..teruskan dakwah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: