Muharrikdaie

Menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

perhentian yang pasti


Jika aku punya waktu lagi, pasti akan ku susun ayat ayat indah yang mendiami hati ku ini dan akan ku tuangkan kehati kamu disetiap helaan nafasku yang sentiasa merindui kamu semua dijalan ini sebagai bukti tanda kasih diatas hubungan ukhuwah fillah kita.

Namun …. seandainya waktu ku akan berakhir esok atau lusa dan aku tidak berkesempatan menulis lagi, teruskanlah merewindkan kembali bait bait ku diFB dan diblog warisan ku ini untuk menyirami hari hari kamu semua dihalaman rinduku ini!.

Insyaalah, selagi berkesempatan dalam rentang waktu yang diberi Allah ini, pastinya aku akan bersama sama kamu semua untuk menggugah perasaan dan jiwaku dan jiwa kamu semua dengan cahaya semangat supaya hati kita sentiasa meng ‘zauk’ terhadap deenullah dan dakwah ini meskipun setiap detik hati hati kita diurung lalat ‘dunia ‘ yang tidak pernah tahu erti letih untuk mencuri ruang meracun kita dengan najis dunia yang kelihatan indah dalam basirah kita!

Itulah dunia yang sepatutnya kita kenal seakrab akrabnya!

Dunia yang senantiasa memulas dan memintal mintal hati kita supaya ‘ memeluk dan merangkul’ nya dengan penuh nafsu keghairahan sehingga kita yang digelar sebagai duat ini pun, terkadang  ‘teruja’ dan terpana ‘  serta terlalai seketika  sehingga adakalanya hati kita rapuh lalu menderhakai akan” titah titahNya ‘.

Disinilah sepatutnya jiwa kita mengaca untuk kembali menghidupkan batin bersamaNya kerana syaitan yang berkeliaran disekeliling kita ini, tidak pernah jemu dan sentiasa menumpukan perhatian kepada para pendakwah seperti kita dan berkumpul sekuat tenaga serta memfokuskan seluruh perhatian mereka untuk merobohkan semangat dakwah kita, meracun kita serta‘ Mengadu dombakan ‘ perasaan dan iman serta nafsu juga saf saf kita yang sedang bertarung dalam sebuah ‘ peperangan besar’ dengan dunia supaya kita kembali mengikut telunjuknya!

Akhi, ingatlah! kenistaan dunia yang dari dahulu lagi menjanjikan perkara perkara lapok yang sama  berupa keglamouran, kesenangan, keindahan akan terus menarik jiwa ‘mujahadah’ kita agar memeluknya untuk mengkhayalkan kita supaya kita ‘ larut ‘ dan terhijab pandangan daripada ‘nur’ basirah terhadap alam akhirat.

Boleh kah kita menjadi ‘ Manusia Akhirat” dalam putaran arus nafsu ini?

Mampukah kita mengantungkan hati ini kepada satu alam yang tak pernah di lihat, didengar, ditalkinkan dan dikhayalkan tentangnya?

Bolehkah sesuatu yang hanya kita dengar, baca dan khayalkannya membuatkan perasaan ‘cinta’ kita terlekat  dan melekat dalam sanubari kita?

Atau kita menerimanya hanya sebagai sebuah cerita, sebuah mitos sehingga cerita cerita akhirat ini menjadi seperti ‘ bed time story’ yang ditalkinkan kepada kita sebelum tidur tanpa tersentuh hati kalbu kita dalam pancaran sinarnya?

Ironinya, ada antara kita pun sesekali masih ‘ termanggu manggu’ bila ditanya soalan, apakah ‘ kepercayaan pada hari akhirat ‘ ini rukun iman atau rukun islam?

Dan ada juga yang terbata bata menghitung jari tidak dapat menjawab bila ditanya kedudukan ‘percaya pada hari akhirat ‘ ini rukun ke berapa dalam rukun iman?

Begitulah lemahnya jiwa dan penghayatan kita kepada akhirat sehingga kita terlupakannya  dan tidak mengindahkannya,  ibarat kita melupakan ‘ najis’ yang telah kita buang setiap kali kita ketandas!

Nauzubillah.

Apakah dengan sikap dan peribadi begini, kita mampu untuk membongkar rahsia rahsia akhirat dan menyerapkan  rasa kecintaan itu?

Bagaimanakah pula dakwah ini dapat kita sampaikan kehati manusia jika kita sebagai duat ini pun tidak langsung memiliki hati hati akhirat ‘ !

Kalaulah butir butir korma ini harus kutelan semua, baru aku maju untuk berperang …….oh betapa jauh sungguh jarak antara aku dan syurga

Begitulah ungkapan seorang sahabat Rasul ketika Rasul  mengarahkan mereka agar cepat maju didalam perang badar dan menjadikan syurga sebagai motivasi mereka dan ada sahabat yang membuang kurma dimulutnya yang tinggal setengah lagi untuk dihabiskan itu semata mata tidak mahu kerugian walau satu saat  untuk mendapatkan akhirat serta mematuhi, mentaati dan  menyakini janji Rasul tentang syurga yang seluas langit dan bumi itu!

Tarbiyah apakah ini yang diberikan Rasul?

Tak lain tak bukan adalah ‘ Tarbiyah Imaniyah’ yang mapan, mantap dan berkesan yang telah dihayati  oleh sahabat sahabat mereka  sehingga hadirnya akhirat ‘ disetiap hati hati mereka!

Mereka memahami akhirat dengan sebenar benar faham dalam semua makna yang terkait didalam benak mereka setiap saat dan setiap waktu serta menjiwainya hingga menjadi peribadi didalam hidup harian mereka. Justeru mereka tidak langsung pernah melupai akhirat walau sedetik pun hatta ketika sedang menikmati ‘ kenikmatan’ dimalam pengantin pun, akhirat tetap tersemat didalam hati mereka seperti yang dibuktikan oleh hanzalah” yang akhirnya ‘ dijunubkan’ oleh malaikat selepas kesyahidannya!

Lukisan dan bayangan syurga terlalu “mendzauk” menerobos jiwa mulus  mereka sehingga dunia yang sentiasa mendepani mereka, mereka tolak sejauh jauhnya!

Lukisan akhirat juga membuatkan kaki mereka melangkah di alam perjuangan dan dakwah ini dengan penuh komitment dan kesungguhan yang tiada taranya, sekalipun langkah kaki mereka menapak tiras perjuangan yang penuh dengan onak dan duri ini, namun bagi mereka ‘duri’ itu justeru memberi kenikmatan jiwa saat jiwa mereka tertekan didalam gelombang ujian duniawi yang mencengkam!

Lukisan akhirat  juga membuatkan mereka tidak menyisakan walau seinci pun hati dan jiwa mereka kepada dunia ini meski pun dunia mengejar mereka dan menawarkan serta memberi pecuma nikmat nikmat kepada mereka namun mereka tolaknya dengan keras dan tegas.

Syahwat mereka, mereka leburkan dengan gambaran gambaran neraka yang menghunjam! Sehingga kedahsyatan neraka memburamkan syahwat mereka hingga kehulu hati , lantas mematikan seluruh kecenderungan hati mereka kepada dunia yang menggamit!

Begitulah para sahabat terdahulu dan para duat yang menyusuri jalan mereka Lukisan syurga dan neraka memberikan mereka kesedaran yang teramat dalam pada makna kehidupan ini sehingga kehidupan para duat ini begitu sakral, suci dan agung sehingga mereka mampu menapaki dunia ini dan meletakkan jiwa mereka mengembara kelangit keabadian.

Bagaimana kita?

Apakah telah kita letakkan hati dan jiwa kita pada akhirat? Atau pun kita masih ‘ tergagap gagap’ lagi untuk menjawabnya atau masih ‘ tercari cari’ lagi alasan pada soalan ini?

Soalan yang telah dipusakakan oleh Rasullulah 1400 tahun dahulu dan telah diulangi oleh pentarbiyah dan murabbi dahulu bertriliun triliun kali.

Apakah kita ingin mengulangi skrip jawaban ‘negatif ‘ kita. Skrip yang diajar oleh ‘ Murabbi Nafsu” kita, yakni syaitan laknatullah dengan jawaban yang palsu dan yang penuh fatamorgana. Jawapan yang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Jawapan yang tidak ada tindakan susulan. Jawapan yang tidak bergerak untuk mengerakan ‘postur‘ tubuh nurani  kita ke jalan dakwah ini!

Marilah kita jawab dengan ikhlasnya bahawa kita akan  bersungguh sungguh untuk meletakan hati kita untuk akhirat dan bekerja untuknya. Berdakwah dan terus berdakwah selagi kita bernafas. Menghayati tarbiyah tanpa culas sehingga boleh membentuk diri kita menjadi ‘ qiyadah atau murabbi“. Malah bukan murabbi fikriyah semata tapi adalah murabbi daie, murabbi ruhiyah, jihadiyah dan siyasiyah sehingga kita mampu mendahului zaman dan berinteraksi dengan zaman kita yang penuh dengan fasad dan ‘ kong kalikong’ ini.

Cukuplah dunia. Cukuplah!

Apalagi yang kita cari?

Scroll yang bergulung gulung, PHD, pangkat, kemewahan, keglamouran , istana, suami yang handsome, isteri yang mungil dan cantik , anak anak yang comel!

Apa? Inikah sebab nya untuk kita semua meninggalkan dakwah ini, kerja pahit dan payau ini, kerja sukarela ini, kerja yang tidak menjanjikan ganjaran dialam nyata ini, kerja para dhuafa’ ini, kerja para nabi ini, kerja para syuhada’ ini!

Tidak malukah kita sebagai seorang prfesional muslim yang punya degree bergulung gulung dari University hebat hebat serta berkarier sebagai seorang doktor, seorang engineer, seorang komputer specialist, seorang actuaris atau apa saja jawatan, yang dikurniakan sejemput otak yang geliga ini  yang hanya tertumpu berfikir dan berfokus, semata mata terhadap nafsu dan sesuatu yang tidak kekal dan melupai akhirat?

Sepatutnya sejemput otak geliga inilah yang mendepani dakwah ini. Yang memberi ‘qudwah’ kepada seluruh isi alam ini tentang masuliyah yang dibebani kepada setiap kita, namun sedihnya otak sebeginilah yang lebih rakus melahap dunia ini tanpa sempat menoleh kiri dan kanan!

Apakah beza nya intelektual begini termasuk kita dengan seorang badu’i  atau ” aboriginis”.

Dimanakah sekarang, orang terdahulu sebelum kita  yang melalaikan ‘ masuliyah rabbani ‘ ini, yang memiliki segala kemewahan dan segala yang mereka nikmati?

Sesungguhnya mereka adalah sejarah yang harus kita renungi sedalamnya dan mengambil iktibar darinya. Apakah kita juga ingin  menyusul dengan meninggalkan sejarah seperti mereka dan menwariskan sejarah buruk kita kepada generasi mendatang supaya melakukan perkara yang sama seperti kita?

Mari akhi mari …

Marilah bersamaku kita kenangkan sejenak ketika Bilal bin Rabah melaungkan azan sewaktu Fathul Mekah. Dalam sayup azan itu berkaca matanya  terkenangkan sahabat sahabatnya yang telah hilang sebagai syuhada’ dalam mempertahankan islam dan dakwah ini …

Dalam laungan syahdunya itu, teringat dia seluruh sahabatnya yang pernah bersama dahulu tapi  telah tiada, waktu kejayaan ini.

Waktu Fathul Mekah ini!

Sayu hatinya melaungkan Allahu Akbar dan haiyalal falahhhhhhhhhhhhhhh.

Dia menginsafi dan sedar atas segala pengorbanan dan kesyahidan sahabatlah dia dapat menikmati Islam dan kejayaan ini ….Tidak kah kita insaf akhi, ukhti dan semua yang setia bersama ku tika ini dalam mengenangkan sahabat sahabat yang terbaring di baqi’ sebagai syuhada yang tak dapat menyaksikan Fathul Mekah Negeri tanah tumpah darah mereka, tempat mereka perjuangkan dan dakwahkan deen ini sehingga mereka gugur syahid.

Tidakkah sesekali perlu kita kenangkan mereka semua agar semangat mereka dapat memarakkan kecintaan kita kepada akhirat dan bekerja dan berdakwah dengan penuh semangat dimana saja kita berada?

Pernahkah kita kenangkan Sumayyah,Yasir, Hamzah dan Muadz serta Mus’ab, lelaki bangsawan dan tampan yang berpakaian indah dan berbau wangi waktu jahiliyahnya yang telah gugur syahid hingga tidak cukup kain untuk menutup jenazah sucinya waktu syahidnya sehingga rasul menanggis!

Tidakkah kita terasa sedih mengenangkan beliau yang meninggalkan segala yang disukainya didunia fana’ ini demi memperjuangkan dakwah dan deen ini sehingga kita dapat mendiami rumah islam yang dibangun  dari tengkorak tengkorak mereka dan di cat oleh darah darah mereka!

Sanggupkah kita yang semua berada dirumah islam ini membiarkan islam dihina, dibiarkan tanpa dibela?

Sanggupkah kita hanya ‘berlenggang kangkong’ memegang tangan suami atau isteri kita bersama anak anak kita sambil ketawa menikmati dunia dan kelazatan didalamnya tanpa ada sedikit pun rasa bersalah tidak menjalankan dakwah ini setelah dikurniakan iman dan islam serta jamaah, sehingga ada teman teman kita dahulu yang pernah melalui perit maung tarbiyah sewaktu belajar diluar negara kini telah futur setelah mengecapi kesenangan dan kemewahan ……….

Malangnya kita!

Sebenarnya kematian kita semakin hampir dan kita telah hampir untuk menemui mereka yang telah mendahului kita.

Sesungguhnya kematian sahabat terdahulu telah terlukis dengan keagungan Allah dan ketika Allah berkenan mengantar kepergian mereka dalam goncangan ArasyNya hingga langit pun  menangisi kepergian mereka …….

Apakah kita masih berpeluk tubuh bercatur dengan nafsu untuk membina  kehidupan kita yang  mewah untuk hidup sesingkat ini lalu melupakan masa depan yang gelap dihadapan Allah?

Sesungguhnya tika ini hatiku amat sayu ya Allah mengenangkan agamaMu tidak dipedulikan dan dengan kemampuanku yang terbatas ini …

Ampunkan kami semua

الفقير إلى الله

muharrikdaie

3 responses to “perhentian yang pasti

  1. khadijah February 15, 2011 at 3:49 pm

    terasa dgn ayat

    “…..sehingga ada teman teman kita dahulu yang pernah melalui perit maung tarbiyah sewaktu belajar diluar negara kini telah futur setelah mengecapi kesenangan dan kemewahan ……….”

    terima kasih kerana memperingati~

  2. tariq_dhiya' December 28, 2009 at 6:38 am

    Alhamdulillah,
    masih ada entri daripada Bro Muharrikdaie,
    walaupun tajuknya perhentian yang pasti..

  3. chosenpath December 27, 2009 at 8:10 pm

    salam’alaik..
    jazakallahukhayr akh. entry yg membuatkan hati dan akal ana berfikir..terketuk..siapalah aku di sini?
    betapa manusia senang sungguh terleka dari realiti kehidupan..
    na’uzubillahi minzalik

Leave a comment