Terkadang hati ini terusik jua …


Amat terasa. Bila syawal memunculkan cahayanya dan Ramadhan melabuhkan tirainya.

Hati mana yang tak gembira bila waktu begini akan menjenguk keluarga. Pulang kekampung yang penuh nostalgia dan bertemu orang tua yang tercinta.

Itulah nikmat dan kurnia Allah pada yang masih berpunya Ibu Bapa. Nikmatnya ada orang tua, sekalipun mereka telah uzur dan tidak dapat memberikan apa apa pada kita namun jika tanpa mereka kita akan rasa kehilangan. Akan rasa kesunyian. Akan rasa kesepian dengan kasih sayang yang tidak pernah pudar. Dengan doa yang tak pernah kering hingga kita mengecapi kehidupan yang penuh warna dengan doa doa mereka.

Siapakah yang dapat mempertikaikan ini?

Ibu dan ayah adalah nilai tertinggi dalam kehidupan ini sekalipun mereka orang kampung. Tidak terdidik seperti kita. Namun terkadang kita berlaku  sombong dengan mereka. Kita angkuh dengan diri. Kesalahan sedikit yang Ibu dan Ayah kita lakukan kepada kita. Kita jeruk kan dalam hati. Kita perukkan dalam sanubari sehingga kita suburkan kebencian kepada mereka.

Kenapa harus kita begini?

Lupakah kita waktu kita kecil, tiada kudrat dan tenaga. Siapakah mereka tika itu?

Merekalah penjaga kita. Siang malam tidak pernah terlelap dengan lena kerana kita. Terganggu ibadah mereka kerana kita, letih dan penat dengan kerenah kita, risau dan kelam jiwa waktu kita sakit kerana amat menyayangi kita.

Hanya sedikit teguran, hanya sedikit terkasar, hanya sedikit terkeras suara kepada kita, kita dah mula terasa. Kita dah mula membenci mereka. Mula memusuhi mereka. Mula bercatur untuk untuk melarikan diri dari mereka. Untuk membuang sayang dan kasih kita dari mereka.

Adilkah kita?

Waktu beginilah mereka amat mendambakan pelukan kita. Mendambakan kasih sayang kita. Mengharapkan kita berada disisi mereka. Apalagi waktu raya ni. Jangan tinggalkan mereka. Amat sunyi mereka. Pedih hati mereka. Mengalir airmata mereka teringatkan kita. Mereka tidak mahu apa apa dari kita.

Hanya kehadiran! Kehadiran kita. Untuk menatap wajah wajah kita yang lahir dari rahim mereka.

Tak kasihankah kita kepada mereka?

Dengan kedutan wajah wajah daif  itu kerana siksanya memelihara kita dahulu ….salahkah mereka menantikan kepulangan kita Raya ni! Sanggupkah kita bergembira disamping keluarga  dan kawan kawan dengan membiarkan mereka keseorangan  …

Sesungguhnya mereka juga punya nostalgia seperti kita. Nostalgia beraya dengan kita waktu kita masih kecil. Bermain bunga api bersama kita. Memasak lemang dan kueh untuk mengembirakan kita. Waktu itu mereka amat gembira. Tidak berkira wang ringgit dengan kita, membeli apa saja yang kita mahukan. Merekalah yang paling gembira melihat kita gembira …..

Sanggupkah kita memadamkan nostalgia nostalgia mereka yang indah itu ……

Terkadang hati ini terusik jua dengan nostalgia lalu …Apa lagi diwaktu menjelang syawal ini

Menitis jua airmata rijal ini … memang tidak tertahan

Keduanya telah tiada.

Yang tinggal hanya lah sekujur tubuh ini. Meneruskan hari harinya. Melihat hari mendatangnya …

Memang, kesusahan hidup terdahulu bersama orang tua amat terkesan dijiwa ini. Apa lagi mereka telah tiada dan adik beradik membawa haluan masing masing. Punya keluarga.

Namun aku masih disini. Adik beradik mengajak beraya bersama … tapi biarlah. Rasanya lebih bahagia begini.

Mengenang kisah2 dulu bila orang tua ada bersama dengan besarnya keluarga dan dalam keadaan susah segalanya tapi kami amat gembira. Walau segalanya harus berkongsi dan tidak cukup makan dan minum namun kegembiraan itu menutupi segalannya.

Waktu begini kami hanya melihat saja orang membakar lemang …mengacau dodol dan membuat rendang. Memang keluarga tidak mampu. Dalam hati setiap kami, agar pagi Raya jiran jiran akan menghantar juadah untuk kami berupa lemang dan rendang …

Memang selalunya begitu dan disitulah kami berebut. Disitulah kami rasa nikmatnya secubit lemang dan secubit serbuk rendang yang memang hanya terasa bau dagingnya sahaja …

Memang terusik hati ini bila arwah ibu hanya mengorengkan cucur kodok dipagi Raya untuk membalas pemberian jiran jiran …

Bukan Ibu sahaja menitiskan airmata tapi jiran pun menitiskan airmata melihat keadaan kami … namun kami tetap gembira sekalipun berada dalam suasana sukar itu …

Disitulah mulanya aku belajar ruh Qanaah …berpada apa yang ada. Dan kesusahan itu juga yang menyatukan kami dengan seerat eratnya sabagai sebuah keluarga ….kesusahan itu juga mentarbiyah jiwa ini agar tahu akan kesyukuran …

Namun segalanya telah berlalu …Ibu dan Ayah yang menjadi hakim bila kami bergaduh berebut pemberian jiran telah tiada  …

Semua kami tidak seperti dulu … masing masing berkeluarga. Mewah kehidupan berkat doa dan didikan Ibu Ayah … Keakraban dulu juga telah berubah walaupun masih rapat kerana masing2 ada tanggungjawab. Mungkin ada lagi antara kami yang mengingat kisah lalu atau mungkin juga ada antara kami yang ingin melupakan segalanya …

Namun bagi ku tidak sekali!

Hati ku tetap  terusik. Mata ku tetap bergenang. Waktu begini. Aku tetap membeli sesikat pisang untuk ku goreng pagi raya nanti untuk mengigati Ibu ku. Dengan pisang itulah aku hidup. Dengan pisang itu jugalah aku mampu merangkak membina hidup ini. Dengan pisang itulah membuatkan aku kuat menghadapi alunan ombak ujian ini ….

Dan dengan pisang itulah aku ingin menjadikan diriku sebenar benar hamba Allah yang ingin berkorban segalanya untuk deen ini kerana aku ingin menemui Ibu dan Ayah ku disyurga. Ingin membantu mensyafaatkan mereka jika aku mati syahid dijalan dakwah ini ….

Memang aku mewah sekarang! Aku punya segalanya namun segalanya tidak boleh mengembalikan kegembiraan dahulu…Tidak boleh menyatukan kami dan menceriakan suasana …

Dan kemewahan itu juga membuatkan aku, malam ini berada keseorangan … sunyi sepi tanpa Ibu dan Ayah disisi …

Namun kesunyian itu tetap terisi dengan Takbir ……….. Allahu akbar Wallilah hil hamd

Jumpa lagi

Muharrikdaie

12.40 pagi

4 responses to “Terkadang hati ini terusik jua …

  1. minah September 25, 2009 at 2:47 am

    selamat beraya, raya haji ni dah niat tak nak balik kg walaupun mak ayah masih ade, wakil buat korban kat mak je, bila mak pilih kasih sedih mula terasa amat3

  2. abdullah bin ali September 23, 2009 at 12:22 am

    Kasih sayang orang-orang dulu tinggi. Hemah dan akhlak anak cucu diasuh didik dengan Ad-Din. Hari ini semua berubah. Ibu bapa mendidik anak-anak untuk mencari harta dunia. Akhlak mulia ditinggal satu persatu. Budaya orang lain ditiru mulus sekali. Keinsafan tidak lagi dipraktis sebaliknya diganti kemewahan duniawi.

    Dunia berubah bersama terubah jiwa dan raga. Malu aib sudah dipiggir jauh-jauh. Nasi bubur berlauk ikan bilis telah ditukar nasi beriani berbungkus kambing. Baju kurung bertudung telah bertukar seluar jeans berbaju adik. Rambut hitam pekat bertukar rambut berwarna warni.

    Sedangkan jalan daei ini tetap diteruskan selagi minda ini dapat membilang malam dan siang. Pahit selagu mana rentak dunia didendangkan oleh umat Muhammad s.a.w. yang ada pada hari ini, kerja mulia ini tidak boleh diucapkan selamat tinggal.

    Marilah sekelian hati-hati yang sejahtera kita teruskan perjuangan mulia ini. Jihadnya tidak akan padam hinggalah jasad ini menemui syahid.

  3. Dianah September 19, 2009 at 6:17 am

    Salam eidul fitri..

    Taqabbalallah minna wa minkum…

    Salam ukhuwah dariku, dan ukirkanlah senyuman di hari bahagia ini..🙂

  4. irhafiz September 19, 2009 at 2:02 am

    Salam eidul fitri buat sahabat,

    Semoga ukhuwwah yang didasari iman dan islam ini terus menerus berkekalan.
    Hadirkan ana dalam doa anta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: