Bila airmata bertembung kasih


mothers-day

Bu, kamu lebih mengetahui bahawa aku memang tak suka nostalgia. Nostalgia banyak memlemahkan hidup aku untuk terus kedepan. Sebab tu aku tidak suka untuk mencipta nostalgia! Tapi dengan mu Bu … tidak dapat aku kikiskan. Acapkali ingin ku lupakan… wajah wajah dan gambaran kehidupan lalu kian mengasak sanubariku hingga tergenang airmata aku bu! Engkau tahu Bu, aku sukar untuk menanggis setelah hidup yang telah kita lalui bersama mengajar aku untuk terus tabah dan kau telah mengajar aku agar sentiasa senyum berhadapan dengan semua ujian. kau banyak mengajar aku menjadi dewasa sebelum umur dewasa aku ….sehingga aku terangkak rangkak menghadapi hidup yang memang sukar dilalui kanak kanak seusia aku ….

Bu, tugas dan pengorbanan mu sama seperti ibu ibu lain dibumi ini namun cara hidup mu dengan ibu ibu lain mungkin berbeza. Kita orang miskin bu. Ditakdirkan Allah untuk miskin. Dan miskin itu tidak pernah kau kesali dan kau kelohkan. Engkau sentiasa memakai bedak sejuk dimukamu setiap pagi untuk menutup wajah wajah sukarmu. Bedak sejuk dimuka mu itulah yang banyak menyejukan jiwaku. Menceriakan hari hari ku. dipagi itu kau sentiasa merebus ubi untuk anak anak mu bersarapan dengan sedikit kelapa yang ditaburi gula. Itulah makanan paling lazat yang tidak ku dapati zaman ini lagi.

Aku masih ingat dipagi itu kau menjalankan tugas seprti biasa untuk menyara kehidupan kami selepas ayah pergi disebabkan kemalangan jalan raya. Kau mengambil tugas ayah yang memang tidak selayaknya wanita lembut sepertimu memikulnya. Kau berpesan kepada ku supaya menjaga adik adik dan menghantar mereka kesekolah sebelum aku kesekolah.

Aku patuh sahaja arahan mu dan seperti biasa aku terpaksa menasihati adik adik supaya makan kenyang kenyang sebab memang kau tidak memberi belanja kepada kami lantaran kesusahan. Aku sedih bu, tapi aku terpaksa menerima kenyataan itu. Setiap kali loceng sekolah berbunyi menandakan pukul 10.30 pagi waktu rehat. Adik adik keluar mencari aku. Mereka minta aku duit untuk beli makanan dan hanya air paip itu sajalah yang dapat aku berikan kepada mereka. Aku sering menyorok menanggis ditandas sekolah bila melihat adik adik merenung kawan kawan mereka makan. tapi apalah dayaku bu ……

Dalam keadaan lemah setiap kali pulang sekolah ditengahhari yang terik kami berjalan hampir 3km untuk sampai kerumah, bu. Sebenarnya banyak kali kami berhenti kerana letih dan lapar. Aku selalu bercerita dengan adik adik supaya mereka lali dan tak terasa lapar. Itulah hidup kami bu. Aku masih ingat bu, kau menyiapkan nasi untuk kami yang kadang kadang tiada lauk. terkadang hanya telur goreng dadar yang nipis macam kulit bawang dan terkadang telur mata kerbau yang terpaksa kami kongsikan dan itu rasanya makanan tersedap untuk kami. Dan terkadang kau gorengkan ikan yang kami kongsikan 4 orang.

Aku selalu marah kepada mu didalam hati kerana kau selalu tak berlaku adil padaku berbanding adik adik lain. Kalau lauk telur mata kerbau, kau selalu beri aku yang putih saja, kalau lauk ikan, aku hanya dapat kepala atau ekornya saja. Waktu itu kau selalu saja kata aku abang dan kena korban pada adik adik. Kena dahulukan adik. Kau gosok kepala ku dan aku dapat lihat airmatamu menitik dan sejak itu aku tidak pernah membantah. Aku akan beri semuanya pada adik adik.

Aku masih ingat bu, jiran sekeliling kampung amat menyayangimu kerana mereka amat hormatkan mu kerana akhlakmu. Bila kenduri kawin, kau sentiasa mengajak kami pergi tapi kau sentiasa mengigati kami supaya jgn gelojoh waktu makan.  Aku ingat lagi bu, kau pernah mengambil susu  setengah tin dan sedikit gula untuk kau hadiahkan kepada tuan rumah pengantin. Aku melarang mu untuk menghadiahkan begitu sebab malu, tapi kata mu ini saja yang ada dan kita kena bagi hadiah benda yang kita sayang dan benda yang ibu sayang itu adalah susu dan gula untuk keperluan kami. Waktu kau beri pada tuan rumah waktu itu, aku lihat tuan rumah menanggis teresak esak sambil memeluk dan mencium mu. Mereka terharu melihat keikhlasanmu.

Bu, aku juga masih ingat setiap maghrib kau paksa kami kesurau mendengar pengajian agama dan aku lihat setiap kali kau mengaji kau akan masukkan 10 sen dalam tabung derma. Duit yang kau simpan khusus untuk surau. Kau banyak mengajar aku untuk infaq walau pun kau tak sehebat fikrah aku bu ….

Bu aku menanggis lagi malam ini bu seperti aku menanggis 15 tahun lalu.

Tak sanggup untuk aku meneruskan coretan ini….cukuplah setakat ini. Dan aku adik2 telah berjaya dalam hidup berkat asuhanmu. berkat pengorbanan mu. Dan berkat doamu …

Bu sekiranya munajat, doa, yassin dan zikir tahlil yang ku bacakan maghrib tadi sampai kepadamu dimalam jumaat yang mulia ini dan engkau mendapat keampunan Allah di alam mu… ketahuilah bu, itu adalah dari aku. Aku yang mengasihi mu sekasih kasihnya dan munajat tadi adalah teristimewa buatmu  kerana Ahad ini adalah hari mu

SELAMAT HARI IBU

Akhirnya bu, seandai aku syahid dijalan dakwah ini …. engkau adalah orang pertama yang ku syafaatkan…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: