Muharrikdaie

Menulis untuk mengerakan jiwa jiwa

Erti hidup pada sebuah kematian


syuhada'

Hidup dan mati adalah 2 perkara berbeza. Pandangan manusia terhadap keduanya pun berbeza. Allah menjadikan hidup dan mati supaya kita berfikir. Fikir supaya kita memandang kurniaan Allah itu sebagai satu maklumat untuk kita menghayatinya. Hidup perlu penghayatan dan mati juga perlu penghayatan. Manusia jahil tentang kedua ini sebab mereka tidak mahu memikir tentangnya. Mereka membuat ijtihad sendiri tentang hidup. Membuat ijtihad sendiri tentang mati sehingga akhirnya mereka tidak dapat mengenali identiti mereka sebagai seorang hamba.

Aku terkadang hairan dengan sikap manusia terhadap hidup dan mati ini. Seolah olah kefahaman mereka tidak ada petunjuknya. Mereka memandang kehidupan adalah kecil dan mati adalah satu perkara yang besar yang mereka takut menghadapinya. Hatta seorang da’i yang telah ditarbiah pun masih mempunyai mentaliti begini sehingga menjadikan mati itu satu fobia dan satu ketakutan yang amat sangat bagi mereka.

Bagi ku hidup dan mati adalah saudara kembar. Cuma berbeza dari segi proses. Proses kematian amatlah sekejap berbanding proses kehidupan. Proses kehidupan melibatkan ramai manusia sedangkan proses kematian hanya melibatkan malaikat izrail dan itu pun datang untuk menjemput kita. Proses kehidupan amat panjang, bermula dengan kedua ibu ayah, ibu mengandung dan seterusnya. Sama seperti hidupan lain kemudian maut menjemputnya tidak sampai kelipan mata.

Disinilah otak ku menerawang, melihat dengan basirah dan aku sampai kepada satu rumusan bahawa kematian itu hanyalah sesuatu kekuatan yang kecil saja dan lemah sangat berbanding dengan kekuatan kehidupan yang penuh dengan makna yang tersirat.

Adakala manusia ini terlolong dan menjerit sekuat hati dengan penuh kesakitan waktu digapai maut yang memang teramat sakit tapi secepatnya pula sembuh dari kesakitan itu dan diganti dengan penuh nikmat dan kesenangan. Sang maut tetap berjalan memenuhi bumi ini melebihi manusia kerana tugasnya meliputi semua makhluk termasuk binatang yang merayap dengan hidup dan kehidupan mereka. Dan maut terus merenggut dan merenggut tanpa kasihan belas kemudian berlalu ….

Matahari terus terbit, bulan tetap bercahaya dan malam siang silih berganti mengikut manzilahnya. Manusia dan makhluk terus berkembang dan mati. Pembangunan terus terdiri dan runtuh …

Seandainya maut punya kuasa dan boleh berbuat sesuatu nescaya ia akan menghentikan alam ini dari berputar. Takutkah kita dengan maut yang tiada erti itu?

Oleh itu janganlah kita bandingkan maut dengan kehidupan kita. Hidup dan kehidupan ini terlalu besar bagi kita dibandingkan dengan maut yang amat kecil itu.

Ingatlah Allah itu Maha Hidup. Dan dari kekuatan Tuhan yang hidup itulah memancarnya kehidupan ini dengan penuh warna warni.

Hidup sesuatu yang perlu kita syukuri.

Pada saat kita lihat hidup ini untuk diri kita sendiri ini maka nampaklah kita bahawa hidup ini amat pendek dan sempit! Memang sempit. Tika kita dewasa hingga menyampaikan kepada berakhirnya nafas kita, memang tidak panjangnya umur ini.

Tapi kiranya hidup ini boleh kita berikan pada orang lain dan hidup untuk orang lain yakni melaksanakan tugas sebagai da’i. Menyelamatkan aqidah manusia dan kembali ingin membina daulah serta melaksanakan konsep dan fikrah. Barulah kita tahu bahawa hidup ini amat panjang dan bererti.

Dalam keadaan begini barulah kita tahu kita akan dapat keuntungan yang berganda ganda dari kita hidup untuk diri kita sendiri. Dengan Ibadah2 fardhi dan tangisan menangisi dosa sendiri yang sentiasa kita ulangi kembali dan mengulangi ulangi sehingga mati. Hidup untuk diri sendiri hanyalah prasangka dan tidak hakiki dan amat rugi yang akan kita hadapi.

Sebenarnya kiranya kita renungi dengan penuh ketajaman naluri ukhrawi, kita akan lebih tersedar bahawa hidup ini bukanlah hitungan tahun dan masa melainkan dengan hitungan kesedaran. Yang dinamakan hidup itu tidak lain daripada kesedaran manusia akan hidup. Melepaskan seseorang itu dari kesedarannya akan hidup, maka bererti terlepasnya ia dari hidup itu sendiri dalam artikata yang sesungguhnya. Manakala seseorang merasakan kesedaran yang melipatganda akan kehidupan, sesungguhnya dia telah hidup dalam kehidupan yang secara real berlipat ganda pula!

Oleh itu marilah kita kita hidup dalam kehidupan yang berlipatganda dan kita hidup untuk orang lain juga. Dengan bertambah tingginya kesedaran kita akan orang lain begitulah kadar tingginya kesedaran kita untuk diri kita sendiri. Akhirnya kita perlu mengandakan kehidupan ini ….

Untuk hidup diberi kepada orang lain terkadang kita terfikir apakah yang kita beri ini dihargai atau dapat dimenfaatkan oleh mereka? Kita selalu berburuk sangka kepada orang lain. Sebagai da’i dan pendakwah jalanan ini aku temui banyak manusia Dari berpangkat hinggalah kepada yang perkerja buruh kilang. Aku menghayati pergaulan ini dan terkadang orang yang aku anggap jahat atau terlalu sedikit kesedaran nya pada deen ini ada titik2 iman dalam dirinya. dan aku rasa terharu dengan kesalahan yang mereka lakukan lantaran kejahilan itu dan disitu timbul rasa kasih yang mendingin dalam jiwaku untuk menolong mereka. dan setelah itu banyak terbuka sifat sifat baik dalam diri mereka yang tak terungkai sebelum ini lantas mereka menunjukan rasa cinta mereka kepada ku diatas kesudian aku membina mereka walau pun pemberian cinta yang ku berikan kepada mereka terlalu minima sekali.

Sebenarnya kejahatan mereka yang terkeluar dari landasan deen ini  tidaklah demikian mendalam adanya dalam diri mereka seperti yang selalu kita bayangkan secara berlebih lebihan. Sebenarnya kejahatan itu hanya terlihat di lapisan luar yang kaku dan beku yang digunakan untuk kepentingan hidup dan nafsu semata. Setelah hilang godaan itu dengan sedikit tazkirah dan iman yang kita canangkan rupanya terbuka lapisan kaku itu dan menampakkan buahnya yang manis dan menggiurkan. Buah itu memang tidak nampak dimata umum dan orang ramai tapi akan ternampak oleh mata seorang da’i yang memberikan hidupnya untuk orang lain. Inilah dia sebahagian kehidupan yang perlu kita lalui dalam mencari erti hidup kepada sebuah kematian.

Sesungguhnya hidup ini amat manis dan akan kita rasa kelazatannya apabila kita dapat menjiwainya. Aku sendiri telah mengalami hal ini dan bukanlah sebagai satu teori dan cerita yang sarat dengan sendaloka yang mengindahkan bahasa. Dan sesunggguhnya da’i itu perlu terus mengembara berbekalkan lapang dada dan baiksangka dan jujur dalam semua perkara kehidupannya dan tika itu ia akan dapat merasakan didalam diri tumbuh kembangnya benih benih cinta, keluhuran dan kebaikan dan dapatlah ia melepasi berbagai beban mental dan kesulitan sekali pun terkadang da’i itu tergelicik dari landasan cintanya oleh teman seangkatannya.

Muharrikdaie

12.00mlm

One response to “Erti hidup pada sebuah kematian

  1. hanisaleeya March 10, 2010 at 2:50 pm

    SalaAm..

    Hidup itu terlalu singkat. Sesingkat azan dan solatnya..

    Ramlee Awang Mursheed

Leave a comment